Khamis, 13 Oktober 2016 | 9:32pm

BBCCD, Mitsui tubuh JVCo


PENGERUSI BBCC Development, Datuk Dr Mohd Shafei Abdullah (tengah) menyaksikan pertukaran dokumen antara Ketua Pegawai Eksekutif BBCC Development, Datuk Richard Ong (depan kanan) dan Ketua Pegawai Serantau ke Malaysia, Mitsui Fudosan Asia, Takehito Fukui (depan kiri) pada majlis memeterai perjanjian usaha sama BBCC Development-Mitsui Fudosan di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Konsortium BBCC Development memeterai perjanjian usaha sama dengan konglomerat hartanah terbesar Jepun, Mitsui Fudosan Asia bagi pembentukan, pemilikan, pengurusan dan pengoperasian sebuah syarikat usaha sama (JVCo) bagi membangun serta menguruskan pusat beli-belah di Bukit Bintang City Centre (BBCC).

Pembangunan komponen utama BBCC yang akan dikenali sebagai Mitsui Shopping Park LaLaport dengan anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) RM1.6 bilion itu akan dimulakan Januari depan.

Pengerusi BBCC Development, Datuk Dr Mohd Shafei Abdullah, berkata pusat beli-belah berkonsep unit dengan keluasan 1.4 juta kaki persegi itu mengambil masa 54 bulan untuk disiapkan.

Katanya, Mitsui Shopping Park LaLaport akan menyediakan 350 ruang beli-belah yang merangkumi jenama baharu dan terkenal dari Jepun dan rantau Asia.

Ia juga menyediakan laluan gaya hidup di bahagian luar kompleks berkenaan yang akan turut dibarisi kafe dan restoran terkemuka bagi kemudahan pengunjung.

"Pembabitan Mitsui Fudosan dalam pembangunan projek ini bakal menjadikan Mitsui Shopping Park LaLaport sebagai mercu tanda ikonik baharu di Kuala Lumpur, yang mana manfaatnya akan dinikmati oleh pemilik hartanah di sekeliling BBCC.

"Pusat beli-belah ini dijangka dibuka akhir 2020 atau awal 2021," katanya selepas majlis memeterai perjanjian usaha sama BBCC Development-Mitsui Fudosan di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Eco World Development Group Bhd (EcoWorld), Tan Sri Liew Kee Sin; Pegawai Pengurus Mitsui Fudosan Company Limited, Osamu Obayashi; Ketua Pegawai Eksekutif BBCC Development, Datuk Richard Ong; Ketua Pegawai Serantau ke Malaysia, Mitsui Fudosan Asia, Takehito Fukui; serta Ketua Bahagian Pasaran Persendirian, Hartanah Domestik dan Serantau Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Mohd Auzir Zakri Abd Hamid.

Menerusi JVCo itu, Mitsui Fudosan Asia akan memegang 50 peratus saham dalam JVCo, manakala selebihnya oleh konsortium BBCC Development atau melalui anak syarikat milik penuh masing-masing.

Mohd Shafei yang juga Pengerusi UDA Holdings Bhd berkata, bagi menjadikan pusat beli-belah itu sebagai destinasi yang perlu dilawati pelancong tempatan dan asing, BBCC Development akan membangunkan tiga terowong khas.

Katanya, ia masing-masing dari Jalan Hang Tuah; Jalan Galloway; dan Jalan Changkat Tambi Dollah untuk menghubungkan ke Mitsui Shopping Park LaLaport.

"Pusat beli-belah ini juga menawarkan 2,400 lot parkir yang apabila siap kelak, akan menawarkan pengalaman beli-belah unik kepada pengunjung. Ia menyediakan pelbagai kemudahan bertaraf global dengan hospitaliti dan kualiti perkhidmatan Jepun yang dikenali di seluruh dunia," katanya.

INFO:

Bukit Bintang City Centre

* Dimiliki konsortium BBCC Development iaitu EcoWorld dan UDA Holdings yang masing-masing memegang 40 peratus kepentingan, serta KWSP menguasai baki 20 peratus

* Fasa pertama projek dengan GDV kira-kira RM4 bilion, satu blok dengan ketinggian 45 tingkat untuk pejabat strata membabitkan 350 suite strata; dua blok apartmen servis membabitkan 450 unit kediaman; pusat beli-belah; dan hotel empat bintang dengan 300 bilik; serta 180 unit kediaman berjenama

* Jualan lot pertama projek pembangunan bercampur dengan anggaran GDV keseluruhan RM8.7 bilion bermula secara berperingkat Jun lalu.

25 dibaca
Berita Harian X