Jumaat, 14 Oktober 2016 | 12:47am

MAHB labur RM10j tingkat keselesaan penumpang KKIA


PENGARAH Urusan MAHB, Datuk Badlisham Ghazali (kiri) dan Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Masidi Manjun. - Foto Edmund Samunting

KOTA KINABALU: Malaysia Airports Holding Bhd (MAHB) melabur RM10 juta lagi untuk menaik taraf kemudahan dan meningkatkan keselesaan penumpang di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA).

Pengarah Urusan MAHB, Datuk Badlisham Ghazali, berkata pelaburan itu adalah untuk memasang dua unit jambatan udara dan kemudahan mesin pengimbas X-Ray selari serta menyusun semula kaunter imigresen.

Beliau berkata, pemasangan kemudahan itu yang dijangka disiapkan tahun depan bertujuan memenuhi keperluan penumpang yang semakin meningkat, selain memastikan kelicinan operasi dan urusan membabitkan penumpang KKIA.

"Berikutan pertumbuhan pesat KKIA, MAHB akan terus melabur dalam mengukuhkan kecekapan operasi, sejajar misi syarikat untuk memberikan pengalaman yang menggembirakan kepada penumpang.

"Sehubungan itu, sebanyak RM10 juta dilaburkan oleh MAHB dengan tumpuan untuk memberikan keselesaan dan mengurangkan tempoh menunggu penumpang yang tiba serta berlepas di KKIA," katanya di sini, pada Khamis.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas pertemuan dengan Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Masidi Manjun.

Badlisham berkata, tambahan dua jambatan udara daripada 12 jambatan sedia ada ketika ini dapat mengurangkan ketidakselesaan penumpang yang ketika ini terpaksa turun atau menaiki pesawat menggunakan tangga apabila semua jambatan udara digunakan.

Ketika ini KKIA mengendalikan 180 penerbangan dengan kira-kira 18,000 penumpang sehari berbanding hanya 8,000 orang sehari sebelum ini.

Berita Harian X