Jumaat, 14 Oktober 2016 | 3:59pm

DBhd, Country Garden bangun bandar bersepadu

Naib Pengerusi Eksekutif Damansara Realty Bhd, Datuk Daing A Malek Daing A Rahaman (kanan) dan Presiden Wilayah Country Garden Malaysia, Fu Jinling (kiri) bersalaman selepas menandatangani dokumen perjanjian ketika majlis menandatangani perjanjian antara Damansara Realty Bhd dan Country Garden Malaysia bagi projek Central Park di Forest City, Gelang Patah. - Foto Hairul Anuar Abd Rahim

ISKANDAR PUTERI: Damansara Realty Bhd (DBhd) menandatangani perjanjian kerjasama dengan Country Garden Holdings Company Limited (Country Garden) bagi membangunkan 21.44 hektar bandar bersepadu, Central Park.

Central Park akan dibangunkan syarikat kerjasama, DAC Properties Sdn Bhd (DAC Properties) dengan 30 peratus pegangan anak syarikat milik penuh DBhd, Damansara Realty Johor Sdn Bhd (DRJ), manakala 70 peratus oleh Country Garden Management Sdn Bhd (CGM).

Bermula suku keempat tahun ini, DAC Properties akan membangunkan Central Park dalam tempoh sehingga lapan tahun yang menyaksikan fasa pertama projek itu akan dilancarkan suku pertama tahun hadapan.

Terletak 10 kilometer dari Barat Laut Johor Bahru, Central Park merangkumi pembangunan unit kediaman, kedai komersial dan pelbagai kemudahan.

Presiden Wilayah Country Garden (Malaysia), Fu Jinling, berkata pihaknya yakin pembangunan bandar bersepadu itu akan menjadi metropolis antarabangsa dan bangga sebagai sebahagian daripada transformasi itu.

"Malaysia sentiasa menjadi pasaran utama untuk kita (Country Garden) kerana kami melihat banyak kawasan berpotensi terutamanya di Johor Bahru yang dikelilingi pembangunan mega pada masa akan datang," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) antara DRJ dan CGM di Forest City di sini, hari ini.

Pada majlis itu, DRJ diwakili Naib Pengerusi Eksekutif DBhd, Datuk Daing A Malek Daing A Rahaman, manakala CGM diwakili Jinling.

Berita Harian X