Jumaat, 14 Oktober 2016 | 6:00pm

Michelle Obama bidas Trump kerana perkecil wanita

MICHELLE Obama. - Foto AP

WASHINGTON: Wanita Pertama Amerika Syarikat, Michelle Obama, pada Khamis menyelar calon presiden Republikan, Donald Trump, berhubung tindakan 'tidak boleh diterima' beliau terhadap wanita.

Pada masa sama, Trump menyangkal laporan media mengenai salah laku seksual dan menyifatkan ia sebagai penipuan terang-terangan.

Michelle, yang jarang mengundang perhatian dalam politik, tampil mengecam hartawan itu, 26 hari sebelum rakyat Amerika Syarikat memilih pengganti suaminya di Rumah Putih.

Dakwaan oleh sekurang-kurangnya enam wanita menjadi tajuk utama akhbar The New York Times, NBC, People dan media lain, kebanyakannya selepas Trump menegaskan pada perdebatan dengan Clinton Ahad lalu beliau tidak pernah mencabul wanita.

Mereka termasuk ratu cantik, wartawan dan wakil jualan, mendakwa beliau mencabul mereka pada masa lalu, termasuk meraba dan mencium.

Dakwaan dibuat beberapa hari selepas video tersebar menunjukkan Trump, pada 2005 berkata kemasyhurannya membolehkan beliau meraba wanita sewenang-wenangnya.

Beliau meminta maaf dan meminta komen beliau cuma disifatkan sebagai 'jenaka dalam bilik persalinan', kenyataan yang dianggap keterlaluan oleh Michelle.

"Ini bukan jenaka bilik persalinan. Ini adalah seseorang yang berpengaruh bercakap secara bebas dan terbuka mengenai tingkah laku pemangsa seksual.

"Beliau bermegah mengenai mencium dan meraba wanita. Tidak kira anda daripada parti mana, Demokrat, Republikan, bebas, tiada seorang pun wanita sepatutnya dilayan seperti itu. Tiada siapa sepatutnya mengharungi penderaan seperti itu," katanya.

Beliau menyelar apa yang disifatkan tindak tanduk 'kejam' dan 'menakutkan' terhadap wanita, tanpa menyebut nama Trump. - Agensi

Berita Harian X