Jumaat, 28 November 2014 | 11:22am

Tentera dikerah, banjir terburuk di Brisbane

BEBERAPA jalan raya di pusat perniagaan di Brisbane dinaiki air selepas ribut terburuk melanda pesisir pantai timur Australia, hari ini. Jumlah kerosakan berikutan bencana alam itu kini dianggarkan mencecah Aus$100 juta (AS$85 juta). - Foto EPA

BRISBANE: Pasukan tentera dikerah bagi membantu operasi menyelamat susulan ribut terburuk di pesisir pantai timur Australia yang sehingga kini jumlah kerosakan dianggarkan mencecah Aus$100 juta (AS$85 juta).

Ribut yang menurut pegawai antara terburuk pernah disaksikan di negara itu dan terkuat melanda Bandaraya Brisbane dalam tiga dekad, turut menyebabkan hujan batu sebesar bola tenis sehingga menimpa kereta dan bangunan lewat semalam.

Banjir kilat turut melanda sehingga sekurang-kurangnya 39 orang dilaporkan cedera setakat ini.

SEBUAH pesawat ringan mengalami kerosakan selepas terbalik berikutan dibadai ribut terburuk di pesisir pantai timur Australia, hari ini. - Foto EPA

Tiupan angin ribut 140 kilometer sejak (kmh) dicatatkan iaitu dalam Kategori Dua, turut menyaksikan pokok tercabut dan menjejaskan bekalan elektrik.

Salah satu saat paling dramatik apabila sekurang-kurangnya empat pesawat ringan diterbangkan angin kuat di Lapangan Terbang Archerfield, 11km dari Pusat Perniagaan Brisbane.

"Ia seperti puting beliung," menurut seorang penduduk pangsapuri apabila bumbung besi diterbangkan angin sehingga 100 meter.

Menteri Pengangkutan Australia, Scott Emerson, berkata kerosakan akibat ribut dianggarkan meningkat kepada Aus$100 juta.

Sekurang-kurangnya 500 rangkaian elektrik terputus bekalan awal pagi ini dengan 65,000 kediaman dan perniagaan masih terputus bekalan.

Berpuluh sekolah ditutup hari ini manakala ratusan anggota tentera dari Pasukan Bantuan Kecemasan dikerah untuk mengalihkan pokok tumbang dan sisa kerosakan yang memenuhi jalan raya di Brisbane. - AFP

Berita Harian X