Sabtu, 15 Oktober 2016 | 3:11pm

Seorang kanak-kanak AS maut tertembak selang sehari

GAMBAR fail, mangsa kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun, terbunuh kerana tertembak diri sendiri di Waukegan, Illinois pada 13 Oktober 2016. - Foto http://www.usatoday.com/
GAMBAR fail, mangsa kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun, terbunuh kerana tertembak diri sendiri di Waukegan, Illinois pada 13 Oktober 2016. - Foto http://www.usatoday.com/

WASHINGTON: Seorang kanak-kanak terbunuh selang sehari akibat tembakan secara tidak sengaja, sama ada disebabkan diri sendiri atau ditembak kanak-kanak atau orang dewasa lain, menurut satu penyelidikan baharu.

Analisis yang bergantung kepada 1,500 sumber baharu itu menggantikan statistik persekutuan yang lalu.

"Pada 13 Oktober 2016, di Waukegan, Illinois, mangsa, kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun, terbunuh kerana tertembak diri sendiri," menurut kenyataan dalam data yang dikumpul kumpulan penyelidik, Arkib Keganasan Senjata.

Data diambil daripada laporan berita, menggunakan 1,500 sumber dan data suku ketiga disiarkan semalam.

Menurut data itu, dalam tempoh 10 bulan pertama tahun ini, 804 kanak-kanak, berusia kosong hingga 11 tahun, terbunuh atau cedera, selain 750 remaja berusia 12 hingga 17 tahun.

Secara keseluruhan, lebih 301 kanak-kanak di bawah 11 tahun terbunuh dan 503 cedera. Selain itu, 150 remaja meninggal dunia dan 600 lagi cedera.

Kajian mendedahkan kematian dan kecederaan meningkat dalam kalangan kanak-kanak di bawah usia lima tahun, dengan golongan berusia tiga tahun paling ramai menjadi penembak.

Kejadian tembakan tidak sengaja mencatatkan kenaikan dalam kalangan remaja berusia 15 hingga 17 tahun.

Mangsa ditembak mati oleh kanak-kanak lain tetapi selalunya pelaku terselamat daripada tembakan yang dilepaskan.

"Tahap masalah ini agak mengejutkan. Ia membuktikan kejadian ngeri ini berterusan dan tindakan perlu diambil," kata peguam di Pusat Guaman Menghalang Keganasan Senjata, Lindsay Nichols.

Kebanyakan kejadian berlaku di rumah kanak-kanak berkenaan, dengan senjata dimiliki secara sah oleh penghuni dewasa untuk melindungi diri.

Ia lebih berkemungkinan berlaku pada hujung minggu atau perayaan seperti Krismas. - Agensi

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X