Sabtu, 15 Oktober 2016 | 3:18pm
Penonton, Norfahana Wahad, 32. - Foto Mohd Syafiq Ridzuan Ambak

Tiket habis, penyokong pulang hampa


Orang ramai beratur untuk membeli tiket pada perlawanan T-Team vs Selangor Peringkat Separuh Akhir ke-2 Piala Malaysia di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah. - Foto Mohd Syafiq Ambak

KUALA TERENGGANU: Lebih 2,000 penyokong T-Team hampa apabila gagal mendapatkan tiket menyaksikan separuh akhir kedua Piala Malaysia bertemu Selangor di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, malam ini.

Difahamkan, 8,000 tiket yang dijual di lapan kaunter pada jam 9.15 pagi tadi habis dalam tempoh tidak sampai satu jam.

Penyokong, Norfahana Wahad, 32, berkata dia bersama suami dan dua orang anak bertolak dari Kemaman seawal jam 6.30 pagi.

Dia yang tinggal di Bandar Baru Bukit Mentok, Kemaman berkata sebaik tiba di pekarangan stadium, dia beratur untuk mendapatkan tiket perlawanan.

"Saya sudah beratur hampir satu jam dalam keadaan panas dan bersesak, namun kecewa apabila dimaklumkan tiket sudah habis.

"Harapan kami untuk menyaksikan perlawanan dan memberikan sokongan padu kepada T-Team tidak kesampaian.

"Sekalipun kecewa, saya mendoakan supaya T-Team mampu memenangi perlawanan malam ini dan melangkah ke pentas akhir buat kali pertama," katanya ketika ditemui di sini.

Bagi Zulkarnain Muhamad, 48, berkata dia mula beratur dalam barisan sejauh setengah kilometer dengan harapan dapat membeli tiket.

Bagaimanapun, harapannya musnah apabila tiket habis sedangkan ribuan penyokong masih panjang beratur.

"Sukar untuk saya percayai kerana dikatakan 8,000 keping tiket dijual, tapi tidak sampai satu jam sudah habis," katanya.

Berita Harian X