Sabtu, 15 Oktober 2016 | 7:38pm

Taufan Sarika: Seorang terkorban di Filipina

MANILA: Sekurang-kurangnya seorang maut dan tiga lagi hilang di Filipina yang kini berdepan ribut pemusnah terkuat, tahun ini ketika Taufan Sarika kian menghampiri kepulauan utama negara itu.

Menurut kenyataan Pejabat Pertahanan Awam , seorang lelaki ditemui mati di tepi pantai sementara tiga nelayan dilaporkan hilang di bahagian timur Pulau Catanduanes ketika Sarika yang diunjur mempunyai kekuatan angin 180 kilometer sejam lalu melepasinya.

Menurut pejabat itu lagi, walaupun ribut itu tidak melintasi pulau itu secara terus, angin kuat serta hujan lebat yang dibawa bersamanya merosakkan kabel elektrik dan telefon untuk lebih 246,000 penduduk di Catanduanes.

Peramal cuaca kerajaan, Benison Estareja berkata, walaupun taufan itu bukan yang terkuat melanda negara terbabit tahun ini, namun ia mungkin menyebabkan kerosakan lebih besar kerana dijangka melintasi kawasan penduduk padat di utara Manila.

"Kami dapat melihat dari radar betapa ganas ribut ini. Ia boleh memusnah rumah kayu dan mengakibatkan pokok tumbang serta mampu menanggalkan bumbung," katanya.

"Ia adalah taufan paling pemusnah di Filipina, tahun ini," kata Estareja.

Katanya, Sarika dijangka melanda Aurora, wilayah pantai timur pulau utama Luzon sebelum subuh, esok. - AFP

Berita Harian X