Ahad, 16 Oktober 2016 | 1:08am

Jaringan Messi bantu Barcelona benam Deportivo


PEMAIN Barcelona, Lionel Messi menjaringkan gol dalam perlawanan menentang Deportivo la Coruna pada aksi La liga di Stadium Camp Nou, sebentar tadi. - Foto Reuters

MADRID: Lionel Messi hanya memerlukan tiga minit untuk kembali meledak gol pada penampilan semulanya selepas kecederaan ketika Barcelona merakam kemenangan besar 4-0 menewaskan Deportivo la Coruna pada aksi La Liga, sebentar tadi.

Kemenangan berkenaan menjadi persiapan sempurna buat gergasi Catalan itu bagi menanti kunjungan kelab Inggeris, Manchester City pada kempen Liga Juara-Juara, Rabu ini di Nou Camp.

Sebelum Messi menjaringkan gol keempat selepas tiga minit dimasukkan sebagai pemain gantian, juara Sepanyol itu sudah pun mendahului 3-0 menerusi jaringan Luis Suarez dan dua gol daripada Rafinha.

Messi dimasukkan pada babak kedua selepas tersisih lebih sebulan akibat kecederaan pangkal paha dan penyerang bintang Argentina itu tidak memerlukan banyak masa untuk meledak gol kesembilannya musim ini.

Barca sebelum ini sentiasa bergelut selepas rehat perlawanan antarabangsa malah tewas 2-1 di laman sendiri kepada Alaves, bulan lalu.

Deportivo juga mencatat keputusan seri 2-2 pada dua kunjungan terakhir ke Nou Camp namun tidak banyak cubaan berjaya dilakukan ketika Barca tampak bertekad menghapus duka kekalahan 4-3 kepada Celta Vigo, dua minggu lalu. - AFP

52 dibaca
Berita Harian X