Ahad, 16 Oktober 2016 | 8:16am

Real belasah Betis 6-1


PEMAIN Real Madrid, Marcelo meraikan kejayaan menjaringkan gol bersama rakan sepasukan. - Foto REUTERS

BARCELONA: Jurulatih Real Madrid, Zinedine Zidane memuji skuadnya selepas Real menamatkan rentetan empat perlawanan tanpa kemenangan dengan membelasah Real Betis 6-1 di tempat lawan awal pagi tadi.

Meskipun kehilangan kapten Sergio Ramos dan pemain tengah Luka Modric, Casemiro dan James Rodriguez, Real mendahului pada minit keempat apabila Raphael Varane menyempurnakan hantaran lintang Toni Kroos.

Pemain antarabangsa Jerman, Kroos, yang menandatangani kontrak baharu dengan kelab itu sehingga 2022 Rabu lalu, bermain tanpa rakan biasa di tengah menampilkan permainan baik apabila turut mengumpan untuk gol kedua Karim Benzema buat Real.

Pemain antarabangsa Sepanyol, Isco menggunakan sepenuhnya peluang ketika skuadnya dilanda krisis kecederaan dengan menjaringkan gol keempat dan kelima Real pada kedua-dua babak.

Pertahanan kiri, Marcelo juga meletakkan namanya dalam senarai penjaring selepas tiga minggu tidak beraksi kerana kecederaan manakala pemain tonggak, Ronaldo menyempurnakan gol terakhir.

"Pemain berbakat dan bijak, dan mereka tahu mereka perlu memulakan perlawanan dengan cara mereka lakukan. Apabila kita bermain dengan gaya seperti itu sejak permulaan, ia akan menjadi sesuatu yang sangat sukar buat lawan.

"Kini kami perlu konsisten dan perlawanan ini adalah persembahan hebat dan satu rujukan. Bukan senang untuk bermain seperti ini jauh dari laman sendiri," kata Zidane. - REUTERS

20 dibaca
Berita Harian X