Ahad, 16 Oktober 2016 | 9:25am

Mardi bangunkan kit ujian ketulenan madu kelulut

KETUA Pengarah Mardi, Datuk Dr Sharif Haron. - Foto Nurul Shafina Jemenon

SERDANG: Kit uji ketulenan madu kelulut akan diperkenalkan oleh Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) bagi mengelakkan penggemar madu itu daripada terbeli produk tiruan.

Ketua Pengarah MARDI, Datuk Dr Sharif Haron, berkata penghasilan kit uji itu masih di peringkat awal kerana kajian makmal masih dijalankan bagi mengenal pasti dua bahan aktif utama yang akan dijadikan penanda untuk membangunkan alat berkenaan.

"Kami (MARDI) jangkakan ada dua bahan aktif dalam madu kelulut yang tidak ada di dalam madu lain yang kita akan jadikan indikator untuk kita bangunkan kit itu nanti.

"Kami juga akan pastikan ianya alat praktikal supaya orang awam boleh gunakan. Kalau mereka rasa was-was sama ada madu itu tulen ke tidak, mereka boleh gunakan kit ini," katanya kepada Bernama di sini, baru-baru ini.

Beliau berkata penghasilan kit uji itu merupakan inisiatif MARDI seiring dengan pembangunan Standard Madu Kelulut yang dijangka siap Jun tahun depan.

Sharif berkata pada masa ini, ketulenan sesuatu madu kelulut yang dijual dalam pasaran tempatan hanya boleh diuji di makmal.

"Kita perlu uji di makmal menggunakan mesin khas dan baru kita tahu sama ada madu kelulut itu tulen atau ditambah bahan-bahan lain. Ini kerana ada penjual yang tidak bertanggungjawab akan menambah gula atau madu kelulut ditambah dengan madu biasa yang lain," katanya.

Berkaitan penghasilan Standard Madu Kelulut, beliau berkata tiga perkara akan diberi keutamaan iaitu ianya dibangunkan berdasarkan kepada Akta Makanan 1983, Peraturan Makanan 1985 dan mengikut asas Codex Alimentarius yang digunakan dalam standard madu antarabangsa.

"Kita jangkakan provisional (fasa awal) standard madu itu akan siap menjelang akhir tahun ini," katanya.

Katanya, menerusi draf standard, cadangan awal tahap bahan kimia yang perlu ada dalam madu kelulut adalah kandungan air maksimum 25 peratus, gula penurun minimum 65 peratus, kandungan abu maksimum satu peratus, keasidan maksimum 187 meq/kg dan bendasing (Hidrosimetil furfural) maksimum 80 mg/kg.

"Draf standard ini adalah sementara dan menjadi panduan awal kepada pengusaha dan usahawan madu kelulut sebelum mereka perlu mengikuti standard sebenar menjelang Jun depan, yang mana bacaan tahap bahan kimia dalam madu itu adalah lebih rendah," katanya.

Katanya, menerusi standard itu juga akan diperkenalkan tiga kategori madu mengikut sumber makanan lebah kelulut berkenaan iaitu dari sumber liar, pokok-pokok hutan dan tumbuhan herba.

MARDI juga akan melakukan proses penggredan madu kelulut untuk membezakan madu yang memiliki gred tinggi atau gred rendah.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Perekaan Makanan MARDI Dr Suri Roowi berkata lima pegawai penyelidik MARDI terlibat dengan kajian di dalam makmal bagi pembangunan standard tersebut yang bermula sebulan lalu.

Menerusi kajian ini, mereka menggunakan mesin dikenali High Performance Liquid Chromatography Mass Spectrometry (HPLC MS MS) bernilai RM1.7 juta bagi menentukan ketulenan setiap sampel madu iaitu dengan menguji kehadiran bahan antioksidan seperti asid fenolik.

"Bagi memenuhi pembangunan standard ini, kami memerlukan 300 sampel dari seluruh negara dan setakat ini, sebanyak 60 sampel madu kelulut diterima dan 150 lagi untuk penjenamaan semula madu kelulut sebagai Super Food pertama Malaysia di peringkat antarabangsa," katanya.

Dr Suri berkata setiap sampel yang diterima akan melalui proses mengenal pasti tahap ketulenannya dalam tempoh dua minggu.

"Selepas selesai uji kaji sampel di makmal, draf standard akan dibawa untuk dibincangkan oleh kumpulan kerja standard pada 28 Oktober ini," katanya.

MARDI diberi tanggungjawab membangunkan Standard Madu Kelulut dengan kerjasama Universiti Malaysia Terengganu, Institut Genom Malaysia dan Jabatan Standard Malaysia.

Standard itu bertujuan untuk memastikan ketulenan madu kelulut serta untuk penjenamaan sebagai Super Food pertama Malaysia di peringkat antarabangsa. - BERNAMA

Berita Harian X