Ahad, 16 Oktober 2016 | 11:59pm

Kajian bantu pesakit kanser, penghidap HIV hindari penyakit orang tua


DR Reena Rajasuriar. - Foto Aziah Azmee

KUALA LUMPUR: Masalah pesakit kanser dan penghidap HIV berusia dalam lingkungan 30 hingga 40 tahun mengalami gejala kesihatan yang lazimnya dihadapi warga emas, mendorong Dr Reena Rajasuriar, 39, melakukan kajian terperinci merangkumi aspek sistem imun badan mereka.

Saintis yang juga pensyarah Jabatan Farmasi, Fakulti Perubatan, Universiti Malaya (UM) itu berkata, kajian terbabit memfokus kepada usaha menemukan kaedah membantu golongan berkenaan supaya tidak ditimpa penyakit warga emas pada usia lebih muda.

Sambil menjelaskan kajian itu dijalankan sejak tiga tahun lalu bersama sepasukan tenaga pakar dalam bidang kanser, HIV dan warga emas, beliau berkata pada kebiasaan, pesakit kanser serta penghidap HIV turut berisiko mengalami penyakit orang tua seperti masalah jantung serta kencing manis.


DR Reena berusaha menemukakan kaedah mengurangkan risiko pesakit kanser dan penghidap HIV mendapat penyakit orang tua. - Foto Ihsan PEMBACA

Kenal pasti faktor

"Penyakit berkenaan adalah normal dalam kalangan individu berusia 60 tahun ke atas dan bukan mereka yang berumur 40 tahun ke bawah.

"Apabila mendengar rintihan pesakit kanser dan penghidap HIV dibelenggu masalah kesihatan itu, saya terpanggil untuk melakukan kajian dan berusaha menemukakan kaedah bersesuaian yang dapat mengurangkan risiko mereka mendapat penyakit orang tua," katanya.

Dalam konteks ini, Dr Reena berkata, beliau bersama pasukan penyelidik berkenaan mahu mengenal pasti faktor permasalahan itu, termasuk kemungkinan ada virus selain HIV yang mempengaruhi tekanan pada sistem imun golongan terbabit.


DR Reena fokus menjalankan kajian di makmal. - Foto Ihsan PEMBACA

Kaedah terbaik

"Input diperoleh hasil kerjasama penyelidik dalam tiga bidang kepakaran terbabit diharap mampu menemukan kaedah terbaik mengurangkan kesengsaraan pesakit kanser dan penghidap HIV," katanya.

Terbaru, inisiatif penyelidikan Dr Reena itu turut menyaksikan pemilihannya sebagai seorang daripada tiga penerima Anugerah L'Oreal-UNESCO For Women in Science 2016.

Sambil menyifatkan penganugerahan itu mampu menyuntik publisiti meluas kepada projek dijalankan, beliau berharap kajian berkenaan turut menerima pengiktirafan hingga peringkat antarabangsa.

INFO

Sistem imun badan

- Terdiri daripada komponen sel dendritik, sel makrofaj, sel pembunuh semula jadi dan sistem komplemen.

- Sel dendritik berkurangan apabila usia meningkat.

- Makrofaj berfungsi sebagai pemusnah dan pembunuh mikroorganisma di dalam sel.

- Sel pembunuh semula jadi akan membunuh sel tertentu dengan spontan dan menjadi 'tuan rumah' sistem imun terhadap pelbagai tumor serta infeksi. Fungsi sel ini tidak berubah mengikut umur.

- Sistem komplemen terdiri daripada plasma protein yang penting dalam daya tahan semula jadi badan. Warga emas yang sihat mempunyai paras komponen komplemen sedikit rendah berbanding orang lebih muda. Paras komplemen akan meningkat dengan tinggi dalam badan orang muda jika berlaku jangkitan kuman, namun tidak sedemikian bagi warga emas.


DR Reena bersama Anugerah L'Oreal-UNESCO For Women in Science 2016 yang diterima, baru-baru ini. - Foto Ihsan PEMBACA

PROFIL

Dr Reena Rajasuriar

Umur: 39 tahun

Tarikh lahir: 12 Disember 1977

Tempat lahir: Klang, Selangor

Pendidikan rendah: Sekolah Kebangsaan (SK) Perempuan Methodist, Klang

Pendidikan menengah:

- Sekolah Menengah Kebangsaan Perempuan Methodist, Klang

- Sekolah Menengah Kebangsaan Methodist (ACS), Klang

Pendidikan tinggi:

- Ijazah Sarjana Muda Farmasi, Universiti Sains Malaysia (USM)

- Ijazah Sarjana Klinikal Farmasi, USM

- Ijazah Doktor Falsafah (PhD) Imunologi, Universiti Monash, Australia

Berita Harian X