Isnin, 17 Oktober 2016 | 10:57am

SL1M pacu modal insan negara


Antara graduan yang hadir pada Program Temuduga Kerjaya SL1M Peringkat Zon Selatan 2016, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada, Johor Bahru. - Foto Mohd Azren Jamauddin/BH

Johor Bahru: Graduan berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sains dari University of Melbourne, Australia yang juga anak kelahiran Kluang, Johor sedikit pun tidak berasa kekok apabila hadir untuk mencuba nasib pada Program Temuduga Kerjaya Skim Latihan 1 Malaysia (SL1M).

Puteri Faten Fatihah Megad Mohd Nizar, 23, adalah antara 16,000 pengunjung yang menghadiri SL1M yang buat julung kali diadakan di Johor Bahru di sini, bertempat di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada.

Mengakui terpaksa bersaing dengan ramai graduan dan juga peserta yang hadir pada program berkenaan, namun dengan tekad mahu berbakti di negara ini, anak muda itu tidak berputus asa menyerahkan resume pada setiap syarikat yang hadir pada program SL1M itu.

  Katanya, beliau langsung tidak menyangka akan terpilih untuk mengikuti latihan selama setahun dengan Permodalan Nasional Bhd (PNB).

Cari peluang pekerjaan

"Saya menamatkan pengajian pada Julai lalu dan memang berhasrat untuk mencari pekerjaan. Tidak sangka saya diterima oleh PNB dan berpeluang menjalani latihan selama setahun di sana," katanya.

Puteri Faten Fatihah berkata, beliau berpendapat kemungkinan berkemahiran bahasa Inggeris dan juga keputusan akademik yang baik antara faktor menyebabkan beliau terpilih untuk menjalani latihan di PNB.

"Apa pun, saya melihat SL1M sebagai satu usaha murni kerajaan dalam membantu graduan mendapatkan pekerjaan dan juga latihan membabitkan pelbagai peringkat kelulusan," katanya.

Bagi graduan Diploma Pengurusan Pelancongan dari Politeknik Metro Kuantan, Nur Hidayah Mohd Yunus, 21, berkata beliau juga tidak melepaskan peluang untuk menghadiri SL1M bagi mencari peluang pekerjaan.

"Saya difahamkan hampir 10,000 peluang pekerjaan dan latihan daripada tahap kelulusan PMR hingga ijazah ke atas.

"Sedar terpaksa bersaing dengan ribuan graduan dan juga peserta lain, namun ia tidak melunturkan semangat untuk saya mencuba menghantar resume kepada beberapa syarikat berkaitan sektor pelancongan," katanya yang berasal dari Kota Tinggi.

Sementara itu, Penolong Pengurus Sumber Manusia AEGIS BPO Malaysia Sdn Bhd, Ivy Ng Tze Hui, berkata sepanjang berlangsungnya SL1M selama dua hari, pihaknya menerima lebih 340 permohonan daripada peserta bagi mengisi kekosongan pelbagai jawatan.

Tawar pelbagai jawatan

Katanya, antara jawatan kosong ditawarkan ialah perkhidmatan pelanggan, sokongan teknikal, tele-pemasaran dan perunding pusat pelancongan.

"BPO Malaysia mula beroperasi di negara ini sejak 2014, malah kami juga beroperasi di sembilan negara dengan memiliki 44 pejabat dan hampir 44,000 kakitangan.

"Walaupun kita menawarkan latihan kepada pekerja baharu, pada proses temu duga kita turut memastikan setiap pemohon mampu berkomunikasi baik dalam bahasa Inggeris, katanya.

Eksekutif Sumber Manusia Marrybrown Sdn Bhd, Azlinda Mohd Sharupi, berkata Program Geran Pekerjaan Iskandar Malaysia (IMEG) yang disediakan oleh Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) turut memberi peluang kepada graduan mendapatkan pekerjaan.

Katanya, secara tidak langsung, IMEG juga banyak membantu majikan khususnya dari segi faktor kewangan kerana 50 peratus dari gaji asas mereka yang terpilih dalam program itu akan dibayar oleh IRDA selama hampir enam bulan.

"Sejak program ini diperkenalkan Mei lalu, kita sudah menerima hampir 50 permohonan dan daripada jumlah itu, lima pemohon sudah mendapat kelulusan IRDA bagi program IMEG," katanya.

Pemangkin pertumbuhan ekonomi

Johor Bahru: Pertumbuhan ekonomi yang semakin berkembang pesat dengan kehadiran lebih ramai pelabur khususnya dari luar negara menawarkan lebih banyak peluang pekerjaan membabitkan pelbagai sektor.

Sebagai kerajaan bertanggungjawab, maka Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada Jun 2011 melancarkan Program Temuduga Kerjaya Skim Latihan 1 Malaysia (SL1M) dalam usaha membantu graduan tempatan meningkatkan kebolehpasaran mereka dalam mendapatkan pekerjaan.

Bantu graduan cari pekerjaan

Sejak diperkenalkan lima tahun yang lalu, SL1M berjaya membantu hampir 93,000 graduan dan fokus utama program berkenaan juga membantu graduan ijazah sarjana muda dan ke atas yang belum mendapat pekerjaan, terutama yang berasal dari keluarga berpendapatan rendah dan menetap di luar bandar.

Keberkesanan program itu dapat dilihat apabila kira-kira 16,000 pengunjung tidak melepaskan peluang menghadiri SL1M peringkat zon selatan selama dua hari yang julung kali diadakan di Johor Bahru, baru-baru ini.

Bertempat di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor pada 12 dan 13 Oktober lalu, membabitkan penyertaan 120 syarikat yang menawarkan 10,000 peluang latihan dan pekerjaan kepada graduan dari pelbagai peringkat kelulusan.

Ketua Sekretariat SL1M, Norashikin Ismail, berkata walaupun program berkenaan pertama kali diadakan di Johor Bahru, namun ia mendapat sokongan yang cukup menggalakkan daripada graduan dan juga peserta lain.

Terima sambutan hangat

"Kami tidak sangka pada hari pertama kehadiran yang dicatatkan hampir 8,000 orang begitu juga pada hari kedua.

"Ini menunjukkan, pengunjung benar-benar mahu memastikan mereka tidak melepaskan peluang menghadiri SL1M supaya dapat mencari peluang pekerjaan atau pun latihan yang ditawarkan," katanya.

Katanya, bagi 2016, SL1M menutup tirainya di Johor Bahru dan sepanjang penganjurannya bermula dari Sabah, Terengganu, Sarawak, Labuan dan Kedah sokongan diterima cukup menggalakkan.

Norashikin berkata, bagi 2017, SL1M dijadualkan berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur pada suku pertama tahun depan.

Berita Harian X