Isnin, 17 Oktober 2016 | 2:28pm

Air pasang besar: Belum ada kawasan terjejas di PD

SUASANA air laut surut di tepi pantai di Kampung Teluk, Pasir Panjang, Port Dickson, yang tersenarai antara kawasan yang berkemungkinan dilanda banjir kilat akibat fenomena air pasang besar. - Foto Hazreen Mohamad
SUASANA air laut surut di tepi pantai di Kampung Teluk, Pasir Panjang, Port Dickson, yang tersenarai antara kawasan yang berkemungkinan dilanda banjir kilat akibat fenomena air pasang besar. - Foto Hazreen Mohamad

PORT DICKSON: Fenomena air pasang besar yang melanda perairan daerah ini menyebabkan ombak besar di kawasan pantai sehingga mencecah paras yang luar biasa.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Negeri Sembilan, Lt Kol Kamal Mokhtar, berkata bagaimanapun belum ada kawasan kampung atau perumahan dinaiki air sehingga kini.

"Kita memantau rapi keadaan semasa dan mendapati paras air meningkat selama beberapa jam ketika air pasang sahaja, sebelum keadaan kembali normal apabila air surut.

"Kita mengenal pasti 15 kampung yang dikhuatiri terjejas akibat fenomena ini jika ia berlaku serentak dengan hujan lebat dan sudah meminta penduduk membuat persediaan sewajarnya," katanya.

Sementara itu, Pengurus Persatuan Nelayan Kawasan Teluk Kemang, Aznam Ali, berkata penduduk Kampung Teluk, Pasir Panjang, bersedia menghadapi sebarang kemungkinan jika kawasan itu dilanda banjir kilat akibat fenomena berkenaan.

"Semua penduduk sudah dimaklumkan mengenai kemungkinan banjir kilat jika fenomena air pasang besar berlaku serentak dengan hujan lebat dan mereka membuat persediaan, termasuk mengalih perabot ke tempat lebih tinggi," katanya, di sini, hari ini.

Aznam yang berpejabat di kampung itu, berkata nelayan kawasan itu juga diarahkan berhati-hati dan mengehadkan tempoh menangkap ikan di laut berikutan ombak kuat dan angin kencang akibat fenomena itu.

Berita Harian X