Isnin, 17 Oktober 2016 | 3:47pm

Caliph Buskers gusar peminat nasyid pertikai pencalonan AIM 22

Kumpulan Caliph Buskers.

KUALA LUMPUR: Kumpulan Caliph Buskers gusar timbul pertikaian penggemar nasyid apabila lagu mereka, Hanya Namamu, dicalonkan dalam kategori irama itu pada Anugerah Industri Muzik (AIM) Ke-22, Disember depan.

Vokalis kumpulan itu, Khairul Azmi Mohd Saad, 29, berkata, mereka tidak menyangka lagu terbabit layak ke peringkat akhir dalam dua kategori nasyid pada AIM 22.

"Kami terkejut apabila diumumkan lagu Hanya Namamu 'melekat' pada kategori nasyid. Sebelum ini, kami tidak tahu lagu apa dan kategori yang dicalonkan pihak pengurusan kepada panel majlis anugerah itu.

"Pada sidang media AIM 22, Khamis lalu, kami hadir untuk menjayakan acara itu. Mendengar pengumuman penganjur mengenai pencalonan lagu Hanya Namamu, kami bimbang penggemar muzik nasyid mempertikaikannya.

"Walaupun muzik untuk genre lagu itu moden, peminat ada kehendak sendiri dalam memilih lagu nasyid kegemaran," katanya kepada BH Online.

Pada AIM 22, Caliph Buskers menerima dua pencalonan untuk lagu Hanya Namamu iaitu kategori Lagu Nasyid Terbaik dan Susunan Muzik Terbaik Di Dalam Lagu.

Khairul Azmi atau lebih dikenali dengan Azmi berkata, penganjur memaklumkan lagu Hanya Namamu dicalonkan dalam kategori nasyid kerana karya itu dinilai berdasarkan liriknya.

Kumpulan Caliph Buskers dianggotai Azmi yang bertindak sebagai vokalis utama dan pemain bes; Zaki (gitaris/vokalis), Fendy (cajon/vokalis), Wan (gitaris), Rubiana (shaker/vokalis) dan Shazmeen (shaker/juruteknik).

Berita Harian X