Isnin, 17 Oktober 2016 | 5:11pm

Sazali disaran dapat surat sokongan rayuan penggantungan

JAGUH bina badan negara, Sazali Samad
JAGUH bina badan negara, Sazali Samad

BATU PAHAT: Persatuan Bina Badan dan Angkat Berat Johor menasihatkan jaguh bina badan negara, Sazali Samad, mendapatkan surat sokongan daripada Majlis Sukan Polis Diraja Malaysia untuk merayu terhadap penggantungannya selama empat tahun.

Presiden Persatuan Bina Badan dan Angkat Berat Johor, Datuk Ayub Rahmat, berkata pihaknya menasihatkan Sazali menggunakan saluran betul bagi menyelesaikan kemelut yang dihadapinya dan beraksi semula.

"Kita di peringkat negeri telah mengeluarkan surat sokongan meminta Persekutuan Bina Badan Malaysia (PBBM) mempertimbangkan untuk mengurangkan hukuman penggantungan terhadap Sazali, namun beliau perlu membuat rayuan menerusi majikan dan badan sukan yang mewakilinya," katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.

Ayub berkata, pihaknya berharap PBBM akan mempertimbangkan rayuan yang akan dikemukakan oleh atlet berasal dari Batu Pahat itu memandangkan Sazali adalah ikon sukan bina badan negara dan juga ikon sukan negeri Johor.

"Saya sendiri ada berbincang dengan Sazali mengenai perkara ini dua bulan lalu dan berharap beliau akan mengemukakan rayuan menerusi saluran yang betul selepas ini," katanya.

Ayub yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, berkata pihaknya memandang serius kesalahan atlet mengambil bahan terlarang dan menasihatkan atlet supaya berhati-hati dalam mengambil makanan tambahan.

Pada 21 Disember lalu, PBBM menjatuhkan hukuman gantung empat tahun ke atas Mr Universe sebanyak 10 kali itu selepas gagal dalam ujian doping yang dijalankan oleh Agensi Ujian Antidoping Malaysia (Adamas) sebelum menyertai Kejohanan Bina Badan dan Sukan Fizik Asia 2015 di Tashkent, Uzbekistan dari 29 September hingga 5 Oktober tahun lalu.

Sebelum ini, pada Januari, Sazali menghantar surat rayuan kepada PBBM, namun gagal dan beliau dikatakan akan mengemukakan rayuan kedua dalam masa terdekat ini.

Sazali memenangi gelaran Mr Universe di Melaka pada 2000; Moscow (2004); Ostrava, Republik Czech (2006); Pulau Jeju, Korea Selatan (2007); Dubai (2009); Varanasi, India (2010); Melaka (2011); Bangkok (2012); Budaors, Hungary (2013) dan Mumbai, India (2014).

Dalam perkembangan lain, Ayub berkata, Johor masih menjadi negeri penyumbang kepada kelahiran atlet bina badan dan angkat berat negara. - BERNAMA

Berita Harian X