Isnin, 17 Oktober 2016 | 8:24pm

Seorang pelancong warga China lemas

SEMPORNA: Seorang pelancong lelaki warga China ditemui lemas ketika menyertai aktiviti snorkeling di perairan Reef Dive Resort Pulau Mataking, dekat sini, petang semalam.

Dalam kejadian pada jam 4.30 petang itu, Xiong Qin Yu, 30-an, bersama sekumpulan pelancong sedang menjalankan aktiviti snorkeling di perairan Reef Dive Resort Pulau Mataking, kira-kira 40 minit dari pekan Semporna dengan menaiki bot.

Ketua Polis Daerah Semporna Superintendan Peter Ambuas, berkata mangsa disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Semporna.

"Ketika kejadian, seorang pekerja resort sedang membuat pemantauan sebelum melihat seorang pelancong dalam keadaan terkapai-kapai meminta pertolongan.

"Sejurus melihat kejadian itu, dua pekerja resort berkenaan terjun ke laut menyelamatkan mangsa. Mereka kemudian berjaya menarik mangsa ke tepi pantai sebelum diberikan bantuan pernafasan.

"Mangsa kemudian dibawa ke Hospital Semporna dalam keadaan mangsa tidak sedarkan diri. Mangsa disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Semporna," katanya di sini hari ini.

Berita Harian X