Selasa, 18 Oktober 2016 | 12:05am
PROTOTAIP tong sampah pintar, Dynamic Trash Separator. - Foto Abdullah Yusof
PELAJAR Kejuruteraan Kimia Universiti Monash, Karam Puri (kiri), Kathrynn Tan (dua,kiri), Alison Tan (tiga,kiri) dan Victor Ong Zhequan bersama prototaip Dynamic Trash Separator yang menjadi juara pada Pameran dan Persidangan Antarabangsa Teknologi Hijau dan Produk Hijau 2016. Foto Abdullah Yusof

Tong sampah pintar asingkan bahan buangan ikut jenis

KUALA LUMPUR: Sekumpulan empat pelajar Universiti Monash di sini, berjaya mencipta tong sampah pintar yang berupaya mengasingkan bahan buangan secara sendiri kepada empat kategori ditetapkan sejurus dimasukkan ke dalamnya.

Prototaip diberi nama Dynamic Trash Separator itu, dihasilkan dalam tempoh 12 jam oleh empat pelajar Tahun Akhir Kejuruteraan Kimia universiti terbabit terdiri Karam Puri, 23; Victor Ong, 22; Kathrynn Tan, 22 dan Alison Tan 23.

Inovasi tong sampah terbabit membolehkan pasukan itu menewaskan sembilan wakil dari universiti awam dan swasta lain, yang menyertai pertandingan reka cipta sempena Pameran Antarabangsa Teknologi dan Produk Hijau 2016.

PROTOTAIP Dynamic Trash Separator hasil inovasi pelajar Kejuruteraan Kimia Universiti Monash yang muncul juara pada Pameran dan Persidangan Antarabangsa Teknologi Hijau dan Produk Hijau 2016. Foto Abdullah Yusof

Karam berkata, prototaip yang dilengkapi pengesan infra merah dan elektro magnet itu, mampu mengasingkan sampah mengikut jenis seperti besi, kertas, gelas dan botol.

"Prototaip ini dikawal Arduino, alat kawalan yang menghubungkan antara arahan diprogramkan oleh komputer kepada prototaip.

"Alat pengesanan sonar pula akan mengaktifkan pembuka tong sampah, manakala pengasingan melalui ketelusan cahaya.

"Cahaya tidak dapat menembusi besi manakala kertas dan gelas menggunakan pantulan cahaya dalam pengasingan berkenaan manakala plastik adalah bahan terakhir diasingkan," katanya kepada BH.

Karam berkata, prototaip itu perlu ditambah baik kerana hanya mampu mengasingkan sampah kering berdasarkan empat kategori ditetapkan dan belum berupaya mengenal pasti bahan buangan seperti sisa makanan.

KARAM Puri (kiri), Kathrynn Tan (dua dari kiri), Alison Tan (tiga dari kiri) dan Victor Ong Zhequan bersama prototaip tong sampah pintar, Dynamic Trash Separator, yang muncul juara pada Pameran dan Persidangan Antarabangsa Teknologi Hijau dan Produk Hijau 2016. - Foto Abdullah Yusof

"Masa sama, tahap pencahayaan tinggi sekitar tong sampah juga, mempengaruhi keupayaan sonar yang dipasang untuk mengenal pasti sampah yang dimasukkan ke dalam tong terbabit tetapi ia boleh ditangani dengan mengubah suai penetapan pada komputer.

"Kelemahan ini boleh diatasi menerusi usaha menambah baik kerana inovasi ini dihasilkan dalam tempoh yang singkat iaitu 12 jam serta berbekalkan kelengkapan yang disediakan dalam bengkel penganjur pertandingan sahaja," katanya.

Pameran Antarabangsa Teknologi dan Produk Hijau 2016 dianjurkan oleh Asia School of Business, MIT Sloan Management dengan kerjasama Teknologi Hijau Malaysia pada Sabtu lalu. Kemenangan membolehkan kumpulan pelajar terbabit membawa pulang trofi.

Modul bengkel selama dua hari di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur itu adalah merangkumi aplikasi kejuruteraan elektronik, mengenal pasti masalah dan pembelajaran teknologi baru yang kemudian dipraktikkan ketika membangunkan prototaip.

Cubaan julung kali mereka membuahkan hasil apabila menarik perhatian juri serta mendapat markah tertinggi dalam lima kriteria iaitu kerjasama kumpulan, inovasi, pembentangan, relevansi dan demonstrasi prototaip.

Kemelut Kerajaan

Berita Harian X