Selasa, 18 Oktober 2016 | 1:38pm

Tangani jurang besar dunia Islam dan Barat

SULTAN Nazrin bertitah di Persidangan Dunia Tamadun dan Pemikiran Islam Kali Ketiga di Ipoh, hari ini. - Foto Supian Ahmad

IPOH: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, jurang besar di antara dunia Islam dan Barat serta keganasan yang terhasil, mesti ditangani segera.

Baginda bertitah, jika tidak, golongan muda di negara yang umat Islam menjadi minoriti akan sentiasa terdedah dan menunjukkan peningkatan terhadap sikap prejudis dan ancaman.

"(Jika ini terus berlaku) harapan dan impian golongan muda yang berada di tengah-tengah konflik ini akan musnah," titah baginda ketika merasmikan Persidangan Dunia Tamadun dan Pemikiran Islam Kali Ketiga anjuran Universiti Sultan Azlan Shah (USAS), di sini, hari ini.

Yang hadir sama, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan Naib Canselor USAS, Tan Sri Prof Dr Nordin Kasdi.

Sultan Nazrin bertitah, adalah penting untuk golongan majoriti sederhana di kedua-dua pihak untuk mengambil inisiatif merapatkan semula hubungan dunia Islam dan Barat ini.

Titah baginda, ia bertujuan menghalang jurang sedia ada di antara dunia Islam dan Barat semakin melebar, yang hanya akan memenuhi agenda golongan ekstremis daripada kedua-dua pihak.

Berita Harian X