Selasa, 18 Oktober 2016 | 1:51pm

Cycle Sendayan tawar hadiah RM60,000

ALEX Lim (tiga dari kiri) menunjukkan poster dan baju peserta Cycle Sendayan.

SEREMBAN: Kira-kira 2,000 peserta dijangka menyertai Karnival perlumbaan basikal 'Cycle Sendayan', yang akan diadakan pada 29 dan 30 Oktober ini.

Karnival yang mempunyai enam kategori perlumbaan itu dianjurkan pemaju hartanah, Matrix Concepts Holdings Bhd (Matrix Concepts) dan menawarkan hadiah wang tunai serta cabutan bertuah bernilai kira-kira RM60,000.

Ketua Bahagian Jualan dan Pemasaran Matrix Concepts, Alex Lim, berkata enam kategori yang dipertandingkan adalah BMX, Roadbike Criterium, MTB Jamboree Fun Ride, MTB Cross Country Short Circuit, MTB Cross Country Marathon dan Push Bike.

Katanya, pelbagai kategori itu memang dirancang sebegitu rupa untuk membolehkan karnival itu disertai oleh pelbagai lapisan peminat basikal, iaitu dari golongan yang serius sehingga peserta yang hanya mahu berseronok bersama ahli keluarga atau rakan.

"Karnival ini akan diadakan di X-Park, iaitu gelanggang untuk sukan ekstrem di Bandar Sri Sendayan, di sini yang dimajukan oleh Matrix Concepts," katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Beliau berkata, majlis penyampaian hadiah pada 30 Oktober dijangka dihadiri oleh Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Katanya, karnival itu turut dihadiri oleh peserta antarabangsa dari Jepun, Thailand, Indonesia dan Singapura, tetapi majoriti peserta adalah rakyat tempatan.

Mereka yang berminat untuk menyertai perlumbaan masih boleh mendaftar secara dalam talian dengan melayari laman sesawang www.cyclesendayan.com, selain boleh mendaftar pada program promosi di Port Dickson serta Selangor, tidak lama lagi.

Berita Harian X