X
Selasa, 18 Oktober 2016 | 1:58pm

Nelayan PD ke laut seperti biasa

PORT DICKSON: Fenomena air pasang besar tidak menghalang kira-kira 500 nelayan, di sini, menangkap ikan seperti biasa berikutan keadaan cuaca yang amat baik.

Pengerusi Persatuan Nelayan Negeri Sembilan, Abu Bakar Dawam, berkata nelayan di sini sudah biasa dengan fenomena alam yang berlaku setiap tahun.

Katanya, nelayan masih boleh menangkap ikan kerana ombak tidak begitu besar seperti kawasan perairan negeri lain.

"Bagaimanapun, kami mengambil langkah berjaga-jaga. Jika keadaan cuaca kurang baik seperti angin kencang, kami tidak akan turun ke laut," katanya ketika ditemui di Pangkalan Nelayan Batu 7, Telok Kemang, di sini, hari ini.

Sepanjang fenomena air pasang besar kali ini, katanya, keadaan cuaca amat baik yang membolehkan nelayan mencari rezeki pada bila-bila masa.

Abu Bakar yang tinggal di sini sejak 59 tahun lalu berkata, fenomena air pasang besar sebelum ini tidak pernah menyebabkan kemusnahan teruk di kawasan daratan.

Sementara itu, tinjauan BH di sekitar pantai peranginan di sini mendapati, tidak ramai yang mengunjungi kawasan itu berikutan cuaca yang agak panas.

PENGUNJUNG melihat keadaan air di persisiran pantai Tanjung Gemuk, Port Dickson susulan fenomena air pasang besar yang melanda di beberapa kawasan di pantai barat. - Foto Iqmal Haqim Rosman
PENGUNJUNG melihat keadaan air di persisiran pantai Tanjung Gemuk, Port Dickson susulan fenomena air pasang besar yang melanda di beberapa kawasan di pantai barat. - Foto Iqmal Haqim Rosman

Berita Harian X