Selasa, 18 Oktober 2016 | 2:56pm

Polis tembak mati penjenayah, tahan rakan

NIBONG TEBAL: Polis menembak mati seorang penjenayah dan menahan rakannya di Jalan Sungai Daun, dekat Sungai Bakap, di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian jam 5 pagi itu, anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) polis yang melakukan rondaan di Taman Jawi Permai, terserempak dengan dua lelaki berusia 21 tahun dan 26 tahun, yang menaiki sebuah kereta berwarna hitam dalam keadaan mencurigakan.

Difahamkan, anggota berkenaan mengarahkan pemandunya mematikan enjin kereta dan keluar dari kenderaan berkenaan untuk tujuan pemeriksaan, bagaimanapun lelaki itu melanggar motosikal URB polis untuk melarikan diri.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS) Superintendan Shafee Abdul Samad, berkata anggota berkenaan kemudian meminta bantuan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) SPS dan pada masa sama, mengejar kereta suspek sehingga di persimpangan lampu isyarat Sungai Bakap.

"Sejurus tiba di lampu isyarat berkenaan, sebuah kereta peronda polis (MPV) yang berada di kawasan itu cuba menahan kenderaan dinaiki suspek. Bagaimanapun, pemandu kereta berkenaan merempuh bahagian hadapan sebelah kiri MPV polis sebelum memecut.

"Susulan itu, polis terpaksa melepaskan beberapa das tembakan hingga kereta suspek terbabas dan masuk ke dalam parit berdekatan," katanya.

Shafee berkata, pemandu kereta berusia 21 tahun itu maut akibat terkena tembakan, manakala seorang lagi suspek berusia 26 tahun tidak cedera, ditahan untuk siasatan lanjut.

"Siasatan mendapati kedua-dua suspek mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan polis percaya ketika kejadian mereka merancang untuk melakukan jenayah di kawasan berkenaan," katanya.

Berita Harian X