Selasa, 18 Oktober 2016 | 3:34pm

Air pasang besar punca hakisan di Muar

FENOMENA air pasang besar turut menyebabkan berlaku hakisan dan turut merosakan benteng batu penahan ombak di sekitar daerah Muar.

MUAR: Walaupun fenomena air pasang besar di Muar dilihat masih terkawal, kejadian itu turut menyebabkan berlakunya hakisan di sekitar pesisir pantai di daerah ini.

Tinjauan BH di Kampung Parit Seri Menanti dan Kampung Sungai Pulai, di sini mendapati kesan hakisan jelas kelihatan apabila beberapa benteng batu penahan ombak pecah akibat dipukul ombak.

Gelombang laut akibat fenomena air pasang besar itu juga menyebabkan beberapa pokok bakau dalam Rizab Hutan Paya Bakau di kawasan berkenaan, tumbang.

Kesan gelombang laut menyebabkan dawai pengikat batu bagi menghalang hakisan juga rosak hingga ia gagal menahan ombak.

Difahamkan, masalah hakisan biasa berlaku di kawasan itu sebelum ini, namun kejadian air pasang besar menyebabkan proses hakisan menjadi lebih cepat.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Balang, Zaiton Ismail, berkata pihaknya sedia maklum mengenai perkara itu dan masalah berkenaan sudah dirujuk kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk tindakan lanjut.

Katanya, pihaknya sudah membuat pemantauan mengenai masalah berkenaan dan akan mengambil tindakan bagi membaik pulih benteng batu penahan ombak di kawasan terjejas.

"Kita sentiasa membuat pemantauan, termasuk pada waktu fenomena air pasang besar yang berlaku dari 16 hingga 20 Oktober ini. Walaupun kawasan yang mengalami hakisan ini jauh dari penempatan penduduk di sini, tindakan membaik pulih benteng perlu dilakukan.

"JPS bersama agensi lain yang terbabit akan meningkatkan kerja pemantauan bagi mengenal pasti kawasan lain yang mungkin turut terjejas," katanya.

Kemelut Kerajaan

Berita Harian X