Selasa, 18 Oktober 2016 | 4:06pm

Anis nafi berpisah sejak dua bulan lalu


PELAKON dan penyanyi, Anis Al-Idrus. - Foto Zunnur Al Shafiq

KUALA LUMPUR: Pelakon dan penyanyi, Anis Al-Idrus, menjelaskan beliau dan bakat baharu, Raja Afiq, berpisah pada awal Oktober, bukan dua bulan lalu seperti didakwa bekas kekasih.

Anis turut berkata, isu perpisahan mereka diperbesarkan oleh sesetengah pihak tidak bertanggungjawab sehingga menimbulkan kekeliruan.

Anis atau nama sebenarnya Sharifah Anis Syed Zainal Al Idrus, 28, berkata beliau bagaimanapun enggan mengulas lebih lanjut mengenai perkara itu bagi menjaga hati banyak pihak, terutama keluarganya.

"Sebenarnya, isu ini kecil saja, namun ia diperbesarkan oleh pihak tidak bertanggungjawab.

"Biarlah, sekalipun ada yang ingin meletakkan label tertentu pada diri saya kerana kisah percintaan ini, apa yang penting keluarga tahu siapa saya.

"Saya akan menjelaskan perkara sebenar kenapa perpisahan ini berlaku berserta bukti pada masa yang sesuai setelah berbincang bersama keluarga.

"Buat masa sekarang, saya enggan memberikan sebarang komen untuk menghormati keluarga dan 'pihak-pihak' yang terbabit," katanya kepada BH Online.

Anis diminta mengulas kemunculan beberapa dakwaan pihak tertentu yang memburuk-burukkan dirinya selepas Raja Afiq mendedahkan hubungan antara mereka sudah pun berakhir.

Pasangan ini pada mulanya bermain teka-teki mengenai status hubungan berkenaan, namun membuat kenyataan percintaan yang terjalin kira-kira lima bulan lalu.

Berita Harian X