Selasa, 18 Oktober 2016 | 5:02pm

Negara Islam perlu lebih tegas ke atas Kerajaan Myanmar


PROF Datuk Noor Aziah Mohd Awal. - Foto laman web UKM

KUALA LUMPUR: Majlis Perunding Wanita Islam Malaysia (MPWIM) Yadim menyokong desakan Pusat Penyelidikan dan Advokasi Hak Asasi Manusia (CENTHRA) supaya mengheret Kerajaan Myanmar ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) atas kesalahan pembunuhan beramai-ramai dan jenayah kemanusiaan terhadap kaum minoriti Rohingya.

Pengerusi MPWIM yang juga Profesor Undang-undang Keluarga, Wanita dan Kanak-Kanak, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Datuk Noor Aziah Mohd Awal, berkata kebanyakan mangsa yang tidak berdosa adalah wanita dan kanak-kanak.

"Pihak berkuasa Myanmar mesti menghentikan diskriminasi dan penindasan berterusan terhadap kaum etnik ini serta-merta. Perbuatan kerajaan tentera Myanmar ini terhadap Rohingya adalah pencabulan hak asasi manusia.

"Pembunuhan beramai-ramai adalah satu jenayah besar terhadap kemanusiaan," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Prof Aziah mengajak negara Islam supaya tampil memberi desakan sama berikutan majoriti masyarakat Rohingya beragama Islam.

Katanya, Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) seharusnya mengetuai tindakan ini dengan lebih tegas melalui organisasi hak asasinya iaitu Suruhanjaya Bebas Tetap Hak Asasi Manusia (IPHRC).

"Hanya ketegasan negara Islam akan memberi impak yang lebih besar kepada orang Islam," katanya.

Seperti disarankan CENTHRA, katanya, MPWIM juga mahu IPHRC membentuk satu komuniti khas bagi menyiasat dan mendokumenkan pembunuhan beramai-ramai dan diskriminasi yang sedang berlaku di negara itu, seterusnya dijadikan sebagai bukti untuk ICC nanti.

Berita Harian X