Selasa, 18 Oktober 2016 | 5:17pm

Isu seksualiti warga emas perlu dibincang secara terbuka


TIMBALAN Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat), UPM, Profesor Dr V Renuganth hadir pada Seminar Kebangsaan Intimasi dan Seksualiti Warga Tua 2016. - FOto Surianie Mohd Hanif

SERDANG: Isu intimasi dan seksualiti warga tua perlu dibahas secara terbuka berikutan peningkatan jumlah warga tua antara 10 hingga 15 peratus di seluruh negara pada 2030.

Sehubungan itu, Institut Penyelidikan Penuaan (MyAgeing), Universiti Putra Malaysia (UPM) menganjurkan Seminar Kebangsaan Intimasi dan Seksualiti Warga Tua 2016, yang membabitkan aspek kerohanian dan jasmani di usia tua.

Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat), UPM, Profesor Dr V Renuganth, berkata jumlah penduduk berusia 60 tahun ke atas sudah mencecah 9.4 peratus dan dijangka mencatatkan peningkatan sebanyak 17.7 peratus pada 2035.

Katanya, selain Malaysia, negara di dunia yang mencapai status `negara tua' adalah Indonesia, Vietnam, Thailand dan Singapura.

"Pemahaman mengenai fungsi dan keperluan seksual dalam kehidupan warga tua adalah penting dari pelbagai perspektif dalam mengekalkan kualiti hidup dan kesejahteraan. Bagaimanapun, ia tidak hanya tertumpu kepada seksualiti dan intimasi, namun perlu dilihat dari aspek kerohanian dan jasmani.

"Tidak ada keterbukaan dalam masyarakat Asia khususnya Malaysia terhadap seksualiti dan intimasi walhal ia penting dalam kehidupan seharian. Malah, ia juga sebahagian daripada ilmu sains," katanya pada sidang media Seminar Kebangsaan Intimasi dan Seksualiti Warga Tua 2016.

Renuganth berkata, bilangan golongan profesional dalam bidang Gerontologi juga sedikit berbanding negara maju yang lain.

"Sudah tiba masanya, Malaysia sebagai negara membangun, membincangkan serta menyelesaikan isu berkaitan secara matang dan terbuka," katanya.

Turut hadir, Pengarah Hospital Rehabilitasi Cheras, Dr Roslan Johari Datuk Mohd Ghazali; Pengarah MyAgeing UPM, Profesor Dr Tengku Aizan Tengku Hamid; Wakil Tabung Kependudukan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNPF), Tengku Aira Tengku Razif dan Timbalan Presiden Persatuan Gerontologi Malaysia, Dr Selvanthan Sengodan.

Sementara itu, Tengku Aizan berkata, seminar itu adalah bagi memupuk kesedaran mengenai kepentingan keintiman dan seksualiti dalam kalangan warga tua selain menyebarkan maklumat dan perkhidmatan kepada orang yang memerlukan.

"Ia juga sebagai platform kepada kakitangan perubatan, cendikiawan, penggubal dasar dan orang awam bagi membincangkan isu ini tanpa rasa malu, sekali gus menyelesaikan pelbagai isu membabitkan golongan berkenaan," katanya.

Berita Harian X