Selasa, 18 Oktober 2016 | 6:09pm

Proton Saga terima 6,000 tempahan

Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar Sdn Bhd, Rohime Shafie.
Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar Sdn Bhd, Rohime Shafie.

IPOH: Model baharu Proton Saga 1.3 liter terus mendapat sambutan memberangsangkan apabila 6,000 tempahan diterima setakat ini sejak dilancarkan 28 September lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar Sdn Bhd, Rohime Shafie, berkata daripada jumlah itu kira-kira 45 peratus tempahan adalah untuk varian Standard dengan warna merah menjadi pilihan utama pelanggan.

Beliau berkata, ciri-ciri keselamatan yang tinggi selain reka bentuk menawan dan dijual pada harga mampu milik menjadikan generasi ketiga Proton Saga itu mendapat permintaan memberangsangkan daripada pelanggan.

"Setakat ini, sebanyak 1,000 unit kereta Saga baharu sudah diserahkan (kepada pembeli)," katanya pada sesi taklimat sempena sesi pandu uji model berkenaan oleh wakil media di sini, hari ini.

Saga ialah model ketiga yang dilancarkan oleh Proton Holdings Bhd (PROTON) tahun ini selepas Perdana dan Persona, masing-masing pada 14 Jun dan 23 Ogos lalu.

Model terbaharu Proton itu menampilkan empat varian iaitu 1.3L Standard MT, 1.3L Standard CVT, 1.3L Executive CVT dan 1.3L Premium CVT serta ditawarkan pada harga antara RM36,800 hingga RM46,800.

Ia menawarkan enam pilihan warna iaitu hitam (Midnight Black), kelabu (Metal Grey - warna baharu), merah (Fire Red), biru (Topaz Blue - warna baharu), putih (Cotton White) dan perak (Stirling Silver).

Rohime berkata, sambutan yang diberikan terhadap Saga baharu itu menjadikannya antara model Proton yang mencatatkan prestasi jualan terbaik dalam tempoh yang singkat selepas dilancarkan.

Mengulas mengenai jualan Persona, beliau berkata berdasarkan data terkini, pihaknya sudah menerima 15,000 unit tempahan dan daripada jumlah berkenaan, 4,500 unit sudah didaftarkan.

"Bagi Perdana yang dilancarkan empat bulan lalu pula, kita telah menerima sebanyak 1,500 tempahan dan sehingga kini sebanyak 850 unit telah diserahkan kepada pelanggan," katanya.

PROTON sebelum ini meletakkan sasaran jualan sekitar 5,000 unit sebulan untuk Saga, manakala Persona dan Perdana, masing-masing 4,000 dan 350 unit setiap bulan.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X