Rabu, 19 Oktober 2016 | 10:31am

Wenger yakin Walcott kekal bersama Arsenal


PEMAIN Arsenal, Theo Walcott. - Foto AFP

LONDON: Arsene Wenger menegaskan semalam tiada sebarang bahaya jika Theo Walcott berhasrat meninggalkan Arsenal selepas peranannya berkurangan bersama Gunners musim lalu.

Pemain antarabangsa England itu hanya memulakan permainan dalam 15 pertemuan liga dan menjaringkan lima gol dalam musim 2015/16.

Namun Walcott, 27, sudah menyamai catatan gol itu musim ini selepas menjaringkan dua gol ketika Arsenal menang mengatasi Swansea City Sabtu lalu.

Pengurus Arsenal, Wenger, menjelang saingan Liga Juara-Juara berdepan Ludogorets, bercakap mengenai pemain sayap itu dengan berkata: "Lihat sini, saya tidak pernah bercakap dengan sesiapa kerana saya tidak bersedia melepaskannya. Saya sentiasa mahu dia kekal.

"Apa yang saya lihat daripadanya ialah dia sentiasa membiarkan keghairahan terhadap permainan keluar daripada dirinya. Itulah yang anda mahukan daripadanya.

"Saya rasakan sejak dia dibiarkan bermain dengan lebih banyak kebebasan, mungkin dia membenarkan perasaannya bebas dan kurang berkira-kira: 'Bolehkah saya melakukan itu atau tidak boleh lakukan?'," kata bos veteran dari Perancis itu.

"Dia bermain dengan lebih kebebasan dan kehendak. Saya rasa dia ada karektor yang tidak terbatas dan menunjukkan dia adalah pemain yang sama sekali berbeza."

Arsenal sudah menang enam perlawanan terakhir dalam semua kejohanan dan boleh memanggil semula Francis Coquelin ke kesebelasan utama awal pagi esok. - AFP

77 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »