Khamis, 20 Oktober 2016 | 4:56pm

Lelaki curi buah mangga kena penjara dua minggu

AYER KEROH: Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara dua minggu oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini, selepas mengaku bersalah mencuri buah mangga milik seorang lelaki warga emas di Tanjung Kling, enam tahun lalu.

Majistret Analia Kamaruddin menjatuhkan hukuman itu terhadap Hafizi Aman, 28, sejurus selepas tertuduh membuat pengakuan itu.

Mengikut pertuduhan, tertuduh bersama seorang lagi yang masih bebas didakwa dengan niat curang mencuri dua beg plastik buah mangga bernilai RM50 milik Rahmat Galim, 60, tanpa kerelaannya di sebuah kebun mangga di Kampung Gelam, Tanjung Kling, jam 1.35 tengah hari, pada 16 Jun 2010.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama mengikut Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.

Pendakwaan dilakukan pegawai pendakwa, Asisten Superintendan Nora Yaacob, manakala tertuduh yang sedang menjalani hukuman penjara selama 18 bulan atas kesalahan dadah merayu hukuman diringankan.

Mahkamah kemudian menetapkan hukuman penjara 14 hari bermula dari tarikh sabitan terhadap tertuduh.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X