Khamis, 20 Oktober 2016 | 6:41pm

Zul Yahya harap video viral ceramah beri manfaat

KUALA LUMPUR: Pelakon Zul Yahya tidak menyangka video beliau berkongsi pengalaman mengenai perubahannya kepada seorang Islam yang lebih baik menjadi viral di laman sosial.

Zul atau nama penuhnya Zulkifli Yahya, 43, berkata beliau tidak terlintas untuk meraih perhatian ramai, namun berharap perkongsian pengalamannya itu dapat menjadi titik permulaan buat mereka yang menontonnya melakukan perubahan.

"Bagi saya, ini semua kerja Allah. Saya tidak terlintas untuk menjadikan video berkenaan viral. Mungkin, ia dapat menjadi sebab dan titik permulaan bagi mereka yang menontonnya untuk berubah.

"Kadangkala, masyarakat mahu berubah, tetapi jalan untuk ke arah itu masih samar-samar. Saya juga pernah berdepan situasi begitu sebelum ini," katanya ketika dihubungi BH Online, sebentar tadi.

Sejak semalam, video perkongsian pengalaman penghijrahan Zul di sebuah surau menjadi bualan netizen.

Ramai yang terkejut melihat perubahan pelakon yang popular menerusi drama bersiri Pepaya itu dengan menggayakan imej berjubah dan berkopiah.

Bagaimanapun, kebanyakan netizen menyokong perubahan Zul dan mendoakan beliau terus istiqamah dalam mencari jalan hidup yang lebih baik.

Zul berkata, hatinya mula terbuka untuk berhijrah sekitar April lalu.

Menurut pelakon itu, beliau mula risau dengan anak-anaknya yang semakin membesar tanpa didikan agama daripada dirinya sendiri.

"Anak-anak buatkan saya bersemangat untuk berubah. Saya tidak mahu mereka membesar dan menjadi seperti saya. Maka, menjadi tanggungjawab saya untuk mendidik mereka dengan agama Allah.

"Walaupun mereka dihantar ke sekolah agama, sebagai seorang bapa, menjadi tanggungjawab saya untuk sama-sama mendidik mereka.

"Sebagai langkah pertama, saya mengambil keputusan untuk berehat seketika daripada dunia seni bagi mendapatkan kekuatan dan mendalami ilmu sebanyak yang mungkin," ujarnya.

Kata Zul, beliau akan kembali ke dunia seni apabila sudah bersedia, di samping meneruskan usaha dakwah menerusi dunia itu.

"Guru-guru saya sendiri meminta saya tidak berhenti daripada dunia seni. Bukannya salah industri seni, tetapi hati saja yang perlu kuat. Kalau tinggalkan seni, bermakna saya tinggalkan kawan-kawan juga.

"Cuma buat masa ini, biarlah saya memperbaiki diri dulu. Kemudian saya akan berlakon seperti biasa, cuma mengikut kesesuaian perubahan yang saya lakukan ini. Saya juga mahu berdakwah menerusi bidang ini," tuturnya.

KLIP video Zul Yahya berkongsi pengalaman mengenai perubahannya kepada seorang Islam yang lebih baik menjadi viral di laman sosial.
Berita Harian X