Jumaat, 21 Oktober 2016 | 12:23pm
MAKKAH, Arab Saudi. - Foto AFP

RM2,250 untuk visa umrah kali kedua

KUALA LUMPUR: Mulai bulan depan, jemaah yang mahu tunaikan umrah kali kedua dalam tempoh tiga tahun Hijrah akan dikenakan visa RM2,250.

Beberapa agensi pelancongan yang menawarkan pakej umrah ketika dihubungi mengesahkan maklum mengenai dasar baharu itu.

Mengikut mereka, dasar baharu itu menetapkan jemaah yang pernah menunaikan umrah pada tahun Hijrah (H) 1435H, 1436H dan 1437H yang mahu menunaikan umrah kali kedua mulai bulan depan akan dikenakan bayaran Visa Umrah sebanyak RM2,250.

Naib Presiden Persatuan Agensi-Agensi Pelancongan dan Pengembaraan Bumiputera Malaysia (BUMITRA), Ayob Mat Aris, berkata beliau tahu mengenai dasar baharu itu selepas dimaklumkan syarikat pelancongan di Arab Saudi.

"Mengikut syarikat berkenaan, bayaran Visa Umrah bagi kali kedua dalam tempoh tiga tahun Hijrah sebanyak RM2,250, mulai bulan depan," katanya yang juga Ketua Biro Umrah dan Haji BUMITRA.

Jurucakap Tabung Haji Travel pula berkata, pihaknya diminta memaklumkan kepada jemaah umrah berhubung kadar baharu visa berkenaan.

"Dalam satu notis, selain kadar visa, turut disertakan ialah prosedur semakan jemaah yang ada kekerapan menunaikan umrah dalam sistem Bab Al Umrah," katanya.

Pada 2 Oktober lalu, media melaporkan kerajaan Arab Saudi mula melaksanakan caj baharu visa yang diputuskan bulan lalu oleh Kabinet bertujuan meningkatkan pendapatan bukan berasaskan minyak.

Menerusi skim baharu itu, caj visa bagi kemasukan tunggal ke negara itu adalah 2,000 riyal (RM2,250).

Bagaimanapun, pengunjung yang kali pertama memasuki Arab Saudi untuk menunaikan haji atau umrah dikecualikan daripada caj berkenaan.

510 dibaca
Berita Harian X