Jumaat, 21 Oktober 2016 | 3:00pm

'People's Hope' bantu OKU jana pendapatan


GURU pembimbing, Siti Rosaniza Jusoh. - Foto Syamsi Suhaimi

TUMPAT: Kehadiran 20 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Wakaf Bharu di pasar pagi, di sini untuk menjual kek menarik perhatian pengunjung.

Sejak jam 7 pagi lagi, pelajar terbabit menjual lima jenis kek yang dibuat oleh pasangan orang kelainan upaya (OKU) bagi program 'People's Hope' di bawah projek 'All About Youth' anjuran Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS).

Guru pembimbing, Siti Rosaniza Jusoh, berkata pihaknya memilih untuk mendekati golongan OKU bagi menjana pendapatan kerana ia membabitkan komuniti serta menepati konsep yang dikehendaki iaitu Keusahawanan Sosial.

"Kami diperkenalkan kepada pasangan suami isteri, Aziran Abdul Rahman, 35 dan Norlin Aizza Areff, 32, yang menghadapi masalah cacat pendengaran dari Yayasan Orang Kurang Upaya Kelantan (YOKUK), baru-baru ini.

"Tertarik dengan usaha mereka berdua yang pandai membuat kek, namun hanya menjual dalam skala kecil dalam kalangan komuniti mereka, kami mengambil keputusan untuk membantu pasangan suami isteri ini," katanya ketika ditemui, di sini, sebentar tadi.

Siti Rosaniza berkata, pelajar mendapat geran permulaan sebanyak RM1,000 daripada PETRONAS dan memanfaatkan peruntukan itu dengan sebaiknya terutama untuk pemasaran.

Beliau berkata, pasangan suami isteri OKU itu turut dihantar menjalani kursus pembuatan kek bagi memantapkan kemahiran mereka.

Produk yang dihasilkan turut dijual di koperasi serta kafe sekolah dan kaedah itu banyak membantu meningkatkan pendapatan Aziran sekeluarga.

Berita Harian X