Jumaat, 21 Oktober 2016 | 5:06pm

RM40,000 disalur ke dana IOL, bantu pesakit katarak mata


Jasmine mengaku terkejut dengan kehadiran Sufian yang sudi menyumbangkan suara pada majlis meraikan ulang tahun dirinya dalam dunia seni, baru-baru ini. Foto Mahzir Mat Isa

KUALA TERENGGANU: Sejumlah RM40,000 yang dikutip hasil sumbangan pelbagai pihak sejak September lalu akan disalurkan pada dana Intra Ocular Lens (IOL), Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini, sempena Hari Penglihatan Sedunia Peringkat Negeri.

Ketua Jabatan Oftalmologi HSNZ, Dr Zuraidah Mustari, berkata dana berkenaan akan disalurkan kepada pesakit katarak mata yang kurang berkemampuan untuk menjalani pembedahan.

"Sejak 2014, seramai 40,000 pesakit di Pantai Timur berusia 50 tahun ke atas menderita masalah katarak mata dan jumlah berkenaan meningkat dari tahun ke tahun.

"Meskipun banyak bantuan disediakan oleh Kerajaan Pusat dan negeri, peningkatan jumlah pesakit menyebabkan pesakit perlu menunggu untuk mendapat bantuan.

"Kutipan dana IOL ini bertujuan mengurangkan beban pesakit untuk membeli kanta dan menjalani pembedahan membabitkan kos sebanyak RM250 hingga RM800 bagi setiap pesakit," katanya.

Beliau berkata demikian selepas program 'Walk For The Blind' di Dataran Batu Buruk, di sini, yang disertai kira-kira 100 peserta terdiri daripada orang awam dan golongan cacat penglihatan.

Zuraidah berkata, seramai 10 hingga 15 pesakit terpaksa menjalani pembedahan katarak mata dalam tempoh sehari di HSNZ.

Masalah kebutaan biasanya membabitkan golongan berusia 50 tahun ke atas berpunca daripada katarak mata, komplikasi kencing manis, ralat refraksi (masalah rabun) dan glukoma.

"Malah, purata individu yang mengalami masalah kebutaan di negeri ini membabitkan nisbah 14 daripada 1,000 orang," katanya.

Beliau berkata, ketika ini, HSNZ mempunyai lapan pakar pembedahan mata, namun jumlah berkenaan tidak mencukupi bagi menampung 40,000 pesakit yang mengalami masalah katarak mata terutama di pantai timur.

Berita Harian X