Jumaat, 21 Oktober 2016 | 7:19pm

Bapa Achey dibenar keluar hospital


PELAKON, Achey Bocey pada sidang akhbar Mahaguru Spontan di Istana Budaya. Foto Mahazir Mat Isa

KUALA LUMPUR: Pelawak, Achey, mengakui beliau gusar mengenangkan keadaan bapanya yang masih terlantar selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya di Labis, Segamat, Johor, awal bulan ini.

Beliau berkata, bapanya, Hamzah Salam, 79, semakin pulih dan sudah dibenarkan keluar daripada hospital beberapa hari lalu, namun masih memerlukan pemerhatian rapi memandangkan usianya yang sudah lanjut.

Kemalangan berkenaan mengakibatkan bapanya cedera parah pada bahagian tulang rusuk dan pinggul.

"Saya memang asyik teringatkan bapa yang belum pulih sepenuhnya. Kalau ikutkan hati, saya mahu selalu berada di sisinya saat ini.

"Saya tahu, anak-anak akan menjadi antara ubat paling berkesan bagi ibu bapa yang tidak sihat," katanya dalam nada sedih kala ditemui baru-baru ini.

Achey berkata, beliau begitupun terpaksa menerima hakikat perlu meneruskan kerja dan tugas yang sudah dipersetujui sejak awal.

Pada masa sama, beliau berkata, dirinya akan menggunakan masa lapang yang ada untuk pulang ke kampung menjenguk orang tuanya itu.

"Sejak kejadian, sudah tiga kali saya pulang ke kampung menziarah bapa. Saya memang sentiasa ingat dan berdoa agar bapa segera sembuh.

"Saya beruntung kerana mempunyai adik-beradik yang memahami tugas saya dan tidak berkira untuk membantu menjaga bapa," katanya.

Achey berkata, beliau juga akan memastikan menghubungi bapanya setiap hari bagi mengetahui perkembangan terkini, sama ada melalui telefon atau aplikasi sembang bersama keluarga.

"Hati siapa yang tidak risau apabila kita tahu bapa kita tidak sihat? Sekejap pun ingatan saya tidak pernah hilang mengenangkan keadaan bapa," katanya.

Sementara itu, Achey yang bakal terbabit dalam persembahan Mahaguru Spontan di Istana Budaya, hujung minggu ini, berkata dirinya selesa bersama kumpulan Bocey. Beliau juga tidak pernah terfikir untuk memberikan fokus kepada lawak secara solo.

Menurut beliau, baik dirinya mahupun dua lagi teman seperjuangan iaitu Abam dan Fad, masing-masing tidak menghadapi masalah untuk bergerak bersama-sama.

"Kami memang bersikap terbuka dan syukurlah tiada masalah berbangkit sehingga kini. Ada kala, penganjur mahukan kami secara solo, tidak kurang juga yang mahukan kami secara berkumpulan. Ikut rezeki masing-masing," katanya.

Berita Harian X