Sabtu, 22 Oktober 2016 | 1:37pm

Agong minta graduan UiTM mengantarabangsakan mutu penyelidikan

TUANKU Abdul Halim bersama graduan pada sidang pertama Istiadat Konvokesyen UiTM Ke-85 di Dewan Agong Tuanku Canselor hari ini.
TUANKU Abdul Halim bersama graduan pada sidang pertama Istiadat Konvokesyen UiTM Ke-85 di Dewan Agong Tuanku Canselor hari ini.

SHAH ALAM: Graduan sarjana dan pasca siswazah Universiti Teknologi MARA (UiTM) perlu mengantarabangsakan mutu penyelidikan dengan menjalin kerjasama dengan agensi luar.

Yang di-Pertuan Agong yang juga Canselor UiTM, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah, bertitah universiti Bumiputera itu berupaya membina masa depan lebih gemilang dengan menelusuri arena antarabangsa dalam pelbagai jurusan dan bidang.

"Beta berbangga melihat pencapaian dikecapi UiTM dari semasa ke semasa. Justeru, beta harap UiTM akan terus melihat kecemerlangan warga dan universiti dari sudut pengantarabangsaan prestasi serta pencapaian akademik.

"Tidak dinafikan, UiTM ialah institusi bangsa yang memainkan peranan utama dalam membela pendidikan Melayu dan Bumiputera agar tidak tercicir, malahan setanding dengan bangsa lain.

"Tahniah Beta ucapkan kepada UiTM, setelah 60 tahun masih kukuh memperkasa usaha demi melestari darjat, martabat dan hak bangsa pribumi menerusi pendidikan tinggi yang berpaksikan nilai murni dan ilmu sejagat," titah baginda.

Baginda bertitah demikian pada sidang pertama Istiadat Konvokesyen UiTM Ke-85 di Dewan Agong Tuanku Canselor di sini, hari ini.

Turut berangkat Raja Permaisuri Agong, Tuanku Hajah Haminah.

Pada istiadat itu, Tuanku Abdul Halim berkenan melantik dua Pro Canselor baharu UiTM iaitu Tun Ahmadshah Abdullah dan Tan Sri Safri Awang Zaidell.

Pelantikan dibuat selepas mengambil kira pelbagai sumbangan besar kedua-dua tokoh terbabit kepada pembangunan bangsa dan negara.

Seramai 25,720 graduan menerima diploma, diploma lepasan ijazah, ijazah sarjana muda dan sarjana serta ijazah doktor falsafah pada istiadat kali ini.

Daripada jumlah itu, 70 graduan dianugerahkan Ijazah Doktor Falsafah (PhD), Ijazah Sarjana (1,243), Diploma Lepasan Ijazah (57), Ijazah Sarjana Muda (11,097), Ijazah Profesional (153) dan graduan diploma (13,100).

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X