Sabtu, 22 Oktober 2016 | 6:04pm

Penerbit takut ambil berlakon - Umie Aida

PELAKON, Umie Aida. - Foto Shiraz Ali

KUALA LUMPUR: Pelakon Umie Aida bingung apabila tidak ramai lagi penerbit yang menawarkannya peluang berlakon, terutama sejak dirinya sering membintangi produksi arahan kakaknya, Erma Fatima.

Umie berkata, sebagai pelakon, dirinya terbuka menerima tawaran daripada setiap penerbit, malah tidak pernah meletakkan syarat tertentu kerana lakonan masih menjadi minatnya.

"Saya tidak tahu kenapa semakin kurang menerima tawaran berlakon, kebelakangan ini. Mungkin juga penerbit takut untuk mengambil saya berlakon kerana beranggapan saya hanya menerima tawaran daripada pengarah tertentu. Ia tidak benar kerana saya sentiasa terbuka mempertimbangkan setiap tawaran yang datang.

"Mungkin selama ini, ramai menyangka saya hanya berlakon di bawah Erma apabila kerap membintangi produksi arahannya. Saya tidak kisah bekerja dengan mana-mana produksi kerana masih minat berlakon. Saya rindu berlakon watak berat dan bermain dengan emosi.

"Watak seperti itu menuntut saya supaya berkarya dalam lakonan, malah turut memberikan kepuasan yang dicari," katanya kepada BH Online.

Sementara itu, bertanyakan mengenai penampilannya yang sentiasa bertenaga dan semakin langsing, Umie mengakui, dirinya begitu prihatin dalam penjagaan kesihatan.

Pelakon filem Embun itu berkata, beliau akan memastikan bersenam setiap hari untuk kekal cerdas sebelum melakukan aktiviti hariannya.

"Sejak dulu, saya begitu peka mengenai hal berkaitan kesihatan dan kecantikan. Saya perlu bersenam setiap hari. Jika sehari tidak mengeluarkan peluh, badan saya akan menjadi lemah dan kurang bermaya.

"Disebabkan minat juga, saya turut mengeluarkan produk kesihatan Rerama Tea yang mempunyai pelbagai khasiat," katanya.

Berita Harian X