Sabtu, 22 Oktober 2016 | 7:50pm

Viva Palestina Malaysia anjur festival filem kutip dana

KUALA LUMPUR: Viva Palestina Malaysia (VPM) akan menganjurkan Festival Filem Palestin Kuala Lumpur (KLPFF) 2016 di Panggung Black Box & White Box Publika, Solaris Dutamas pada Sabtu dan Ahad depan.

KLPFF yang masuk tahun kelima penganjuran, bertujuan mengutip dana sumbangan untuk pelarian Palestin termasuk untuk projek klinik bergerak di Kem Pelarian Palestin Al Yarmouk, Damsyik, Syria.

Sebanyak lapan filem dokumentari termasuk 'Oversized Coat' dan 'The Curve' yang memaparkan kehidupan dan penderitaan rakyat Palestin, akan ditayangkan selain bazar jualan dan sesi bacaan buku.

Pengerusi VPM, Datuk Dr Musa Mohd Nordin, berkata klinik kesihatan bergerak VPM adalah satu-satunya kemudahan kesihatan yang masih beroperasi di Kem Yarmouk dan dikendalikan doktor pakar Syria.

"Klinik lain kebanyakannya ditutup sebab doktor terbunuh atau keluar menyelamatkan diri. Filem festival kami pada 29 dan 30 Oktober ini bagi mengutip dana bagi projek kesihatan ini.

"Setiap klinik akan dibuka selama seminggu dan setiap kali dibuka ia memerlukan kos sekitar AS$3,000 (RM12,500). Kita bercadang meneruskan projek itu selama enam bulan," katanya kepada BH.

Dana yang dikumpulkan melalui festival filem itu akan digunakan untuk membeli susu kepada kanak-kanak yang masih terperangkap di dalam kem pelarian itu.

Kem Yarmouk terletak di selatan Damsyik antara kawasan kritikal dalam konflik perang saudara di Syria yang berlanjutan sejak Mac 2011. Lebih 13.5 juta rakyat Syria kini memerlukan bantuan kemanusiaan dengan 4.8 juta menjadi pelarian di negara jiran dan Eropah.

Berita Harian X