Ahad, 23 Oktober 2016 | 11:04am
TUANKU Syed Faizuddin dilantik semula Canselor UniMAP bagi tempoh lima tahun berkuat kuasa 13 Disember ini. - Foto BERNAMA

Tuanku Syed Faizuddin dilantik semula sebagai Canselor UniMAP

ARAU: Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail hari ini menerima watikah pelantikan sebagai Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) bagi tempoh lima tahun berkuat kuasa 13 Disember ini.

Ini pelantikan keempat baginda selaku canselor bagi institusi pengajian tinggi itu selepas kali pertama menerima watikah pelantikan jawatan berkenaan pada 2004. ‎

Pelantikan berkenaan mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah. ‎

Pengerusi Lembaga Pengarah UniMAP, Prof Emeritus Datuk Ir Dr Zainal Mohamed diiringi Naib Canselor UniMAP, Prof Datuk Dr Zul Azhar Zahid Jamal mempersembahkan watikah itu kepada Raja Muda Perlis di Bilik Perpustakaan Tuanku Syed Faizuddin Putra (PTSFP) UniMAP di Pauh Putra, di sini.

Baginda berjanji untuk terus memberi yang terbaik serta bersama-sama naib canselor dan warga UniMAP membawa universiti itu menjadi institusi akademik dan penyelidikan terhebat serta berdaya saing di persada antarabangsa.‎

UniMAP adalah universiti awam yang melahirkan banyak jurutera berkemahiran tinggi dan kompeten bagi memenuhi dan menyokong Pelan Perindustrian Negara. - BERNAMA

Berita Harian X