Ahad, 23 Oktober 2016 | 11:59am

Kru cerita kisah menakutkan operasi menyelamat 2,400 migran


PENDATANG tiba Vibo Marina, selepas diselamatkan dalam sebuah operasi di Laut Mediterranean. - Foto AFP

ROME: Kapal penyelamat yang sudah penuh terpaksa belayar menjauhi pendatang terdesak yang cuba berenang ke arahnya mencetuskan pemandangan ngeri di luar Laut Mediterranean, di perairan Libya pada Sabtu.

Ketika keadaan dramatik 24 jam itu, kru Siem Pilot dari Norway dan satu lagi bot menyelamatkan pendatang yang panik di tengah kegelapan, dengan sumber terhad dan berhadapan tindakan agresif penyeludup manusia.

Kira-kira 2,400 pendatang berjaya diselamatkan dan 14 mayat dikeluarkan daripada air, menurut pengawal pantai Itali.

"Kami tidak pernah berhadapan operasi mencari dan menyelamat (SAR) seperti ini. Kami dalam proses memindahkan 1,000 pendatang dari kapal tangki Okyroe ke Siem Pilot apabila tiba-tiba, dalam gelap, bot getah muncul. Ia kelihatan tidak berdaya," kata pegawai polis yang bertanggungjawab di atas operasi menyelamat, Pal Erik Teigen.

Pendatang di dalam salah satu bot getah yang masih belum diselamatkan terdesak memasuki kapal penyelamat, yang ketika itu sudah penuh dan tidak boleh menerima penumpang lagi, bergerak ke arahnya sambil meminta bantuan.

Kira-kira 25 daripada mereka terjun ke dalam air dalam usaha berenang ke arah Siem Pilot, yang memaksa kapten berundur untuk mengelakkan yang lain turut berbuat demikian.

Bot laju dari Siem Pilot kemudian menarik pendatang dari dalam laut dan perahu kecil, dan memindahkan mereka ke atas kapal tangki untuk menunggu usaha menyelamat kapal lain, ketika kapal Dignity menarik mayat.

Teigen dan pasukannya cuma sebahagian usaha menyelamat besar-besaran yang dilakukan di Mediterranean untuk menyelamatkan pendatang yang cuba memasuki Eropah.

Pegawai perisik, Jan Erik Valen, yang menyelia aspek keselamatan bagi operasi itu, sebahagian misi pasukan Frontex Kesatuan Eropah di rantau itu, menceritakan keadaan panik yang menyambutnya ketika beliau menaiki kapal tangki terlebih muatan itu pada awal usaha menyelamat.

"Keadaan huru-hara. Mereka bergerak ke arah kami, datang dari pelbagai arah dan meminta jaket keselamatan.

"Kemudian mereka datang dari belakang dan kami terpaksa menghubungi bantuan. Polis dari Siem Pilot menyertai kami dengan perisai rusuhan. Kami mengetuk paip dengan kayu untuk membuat bising dan terpaksa memukul sebahagian mereka," katanya. - AFP

26 dibaca
Berita Harian X