Ahad, 23 Oktober 2016 | 2:43pm

Bayaran Insentif Khas Insurgensi bukti jasa tentera tak pernah dilupa

MUHAMMAD (tengah) menyerahkan bubur asyura kepada ahli PVATM cawangan Pasir Tumboh yang menyertai program Majlis Asyura Di Taman Desa Wangi, Pasir Tumboh. - Foto Ismail Muhamad
MUHAMMAD (tengah) menyerahkan bubur asyura kepada ahli PVATM cawangan Pasir Tumboh yang menyertai program Majlis Asyura Di Taman Desa Wangi, Pasir Tumboh. - Foto Ismail Muhamad

KOTA BHARU: Bajet 2017 membuktikan kemampuan kewangan Kerajaan Pusat terutama bagi menyediakan pelbagai kemudahan dan bantuan kepada rakyat termasuk veteran tentera.

Yang Dipertua Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) Kelantan, Datuk Seri Muhammad Abd Ghani, berkata Bayaran Insentif Khas Insurgensi membuktikan kerajaan mengingati jasa tentera walaupun dalam keadaan ekonomi tidak menentu.

"Insentif baharu untuk veteran tentera yang hilang upaya ketika dalam perkhidmatan dapat mengurangkan beban yang ditanggung.

"Bekas tentera yang terbabit dalam pertempuran semasa darurat dahulu hanya tinggal antara 200 hingga 300 orang di seluruh negara, namun mereka masih dibantu kerajaan dari segi bantuan wang perubatan selain elaun sara hidup," katanya.

Bercakap kepada pemberita pada Majlis Asyura PVATM Cawangan Pasir Tumboh bersama masyarakat di Taman Desa Wangi di sini hari ini, beliau menasihatkan bekas tentera agar menyertai PVATM untuk memudahkan mereka mendapat kemudahan disalurkan atau mengajukan masalah.

Sebanyak dua kawah bubur asyura disediakan sebelum diagihkan kepada 100 ahli PVATM Pasir Tumboh dan penduduk setempat.

Yang turut hadir, Pengerusi Biro Kebajikan UMNO Bahagian Kubang Kerian, Datuk Saidi Mohd Noor dan Ketua PVATM Cawangan Pasir Tumboh, Mat Hassan Abdul Rahman.

Bajet 2017 memperuntukkan insentif baharu untuk veteran ATM yang hilang upaya ketika dalam perkhidmatan menerusi Bayaran Insentif Khas Insurgensi secara sekali gus dan bulanan. Insentif tambahan itu membabitkan peruntukan RM55 juta, selain bayaran pencen hilang upaya sedia ada.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X