Ahad, 23 Oktober 2016 | 3:49pm

Luqman Hafidz tenggelam selepas Ola Bola?

LUQMAN Hafidz tak mahu membandingkan tawaran diterima sekarang dengan filem Ola Bola. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

KUALA LUMPUR: Bakat baharu, Luqman Hafidz tak mahu membandingkan tawaran diterima sekarang dengan filem Ola Bola yang mencetuskan fenomena sehingga menjulang namanya di persada seni.

Luqman atau nama sebenarnya, Muhd Luqman Hafidz Mohd Fauzi, 24, menganggap dirinya masih 'hijau' dalam bidang lakonan.

Sehubungan itu, jejaka ini mengaku dirinya memerlukan banyak bimbingan untuk memperbaiki mutu lakonan.

"Setiap tawaran yang diterima akan dijayakan sebaik mungkin. Ia amanah yang diberi pihak produksi kepada kita. Sehubungan itu, saya tidak mahu membanding-bandingkan tawaran yang diterima sekarang dengan filem Ola Bola.

"Sebelum ini, saya tidak pernah menyangka filem Ola Bola akan berjaya. Saya hargai setiap naskhah yang diterima tidak kira dalam bidang teater, drama, telefilem atau filem.

"Ini kerana setiap cabang seni ada kelebihannya," katanya kepada BH Online.

Luqman juga tidak terkilan jika ada pihak menganggap kariernya malap selepas membintangi filem Ola Bola.

"Saya masih muda dan banyak ruang yang perlu diperbaiki," katanya yang ditemui pada majlis pratonton barangan kulit jenama Lacoste di pusat beli-belah Pavilion Kuala Lumpur, di sini.

Dalam perkembangan terbaharu, graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dalam bidang Ukur Tanah ini memberitahu, dia bakal memulakan penggambaran drama berjudul Sayang Papa Saya Tak yang turut membariskan Hisyam Hamid dan Emma Maembong, tidak lama lagi.

Berita Harian X