Isnin, 24 Oktober 2016 | 7:10am
ANGGOTA tentera Israel menyertai perbarisan sempena Festival Sukkot. - Foto AFP

Israel tutup sementara wilayah Palestin

BAITULMAQDIS: Pihak berkuasa Israel menahan 19 orang dan menutup sementara wilayah Palestin sebagai persiapan terakhir sempena memperingati hari perayaan Yahudi, kata pihak berkuasa, semalam.

Warga Palestin dihalang masuk dari Tebing Barat dan Semenanjung Gaza sepanjang berlangsungnya Festival Sukkot dan hari cuti Simchat Taurat yang bermula pada Ahad dan berakhir pada malam berikutnya.

Menurut tentera Israel, penutupan kerap dilakukan terutama ketika musim perayaan utama Yahudi. Laluan ditutup bermula daripada Ahad hingga Isnin kecuali untuk kes kecemasan.

Sementara itu, polis Israel mengesahkan penahanan 19 rakyat Palestin di beberapa kawasan di timur Baitulmaqdis. Kebanyakan mereka ditahan berkaitan pertempuran dengan pasukan keselamatan baru-baru ini.

Pertempuran itu berlaku sepanjang cuti Yom Kippur pada awal Oktober dan tangkapan di buat berdasarkan risikan dan operasi.

Sambutan perayaan Yahudi sering kali mencetuskan ketegangan dengan penduduk Palestin pada masa lalu. - AFP

Berita Harian X