Isnin, 24 Oktober 2016 | 7:12am

Bajet perkukuh strategi tangani cabaran ekonomi

PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Timbalannya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menunjukkan buku Anggaran Perbelanjaan Persekutuan 2017 selepas pembentangan Bajet 2017 di Parlimen. - Foto BERNAMA

BAJET 2017 yang dibentang Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak membawa pendekatan menyeluruh merangkumi pelbagai program, insentif dan pendekatan yang menekankan aspek memperkukuhkan sosioekonomi dan kesamarataan dalam kalangan rakyat pelbagai lapisan.

Bajet ini juga dilihat sebagai pendekatan strategik dan pragmatik oleh kerajaan dalam mengemudi hala tuju negara pada iklim ekonomi semasa yang mencabar.

Ia juga disifatkan sebagai pendekatan seimbang dalam mencapai aspirasi negara maju di samping memastikan seluruh lapisan masyarakat tidak ketinggalan.

Justeru, kita dapat melihat sebanyak 173 program dan inisiatif yang dirangka untuk memastikan keseimbangan dalam mencapai aspirasi ekonomi dan sosial masyarakat.

Bajet ini pada dasarnya menjangkakan kadar pertumbuhan ekonomi Malaysia berada pada kadar lebih kukuh tahun hadapan dengan unjuran ekonomi domestik akan berkembang pada kadar empat hingga lima peratus.

Pertumbuhan mapan ini didorong iklim ekonomi global yang dijangka stabil dan pengukuhan harga komoditi pada 2017. Keadaan ini melonjakkan perolehan negara kepada RM219 bilion berbanding RM212 bilion pada 2016.

Dengan peruntukan sebanyak RM262.8 bilion untuk Bajet 2017, kerajaan menjangkakan defisit fiskal 3.0 peratus untuk 2017. Perkembangan ini adalah positif sejajar hasrat kerajaan menuju bajet seimbang menjelang 2020.

Projek mesra rakyat

Sebahagian besar peruntukan Bajet 2017 diperuntukkan kepada projek infrastruktur dan keperluan asas rakyat merangkumi pembinaan jalan raya di luar bandar, menyediakan bekalan air bersih dan elektrik, pembinaan rumah untuk golongan sasar serta projek bersifat mesra rakyat yang lain.

Projek ini dilihat sebagai pendekatan serampang dua mata kerajaan dalam menyelesaikan masalah asas dan keperluan rakyat di samping memangkinkan aktiviti ekonomi setempat.

Di samping itu, beberapa pendekatan kreatif dan sistematik diketengahkan kerajaan dalam merealisasikan impian pemilikan kediaman dalam kalangan golongan sasar.

My Beautiful New Home dan cadangan pembiayaan akhir perumahan yang dibentangkan memberi lonjakan baharu dalam usaha kerajaan menangani masalah perumahan.

Program meningkatkan pendapatan isi rumah juga menggarapkan pendekatan dinamik sejajar dengan perkembangan semasa contohnya memberi golongan B40 galakan menceburi Uber.

BR1M masih relevan

Pendekatan begini dalam memanfaatkan teknologi dan model perniagaan semasa dalam membantu golongan sasar harus diberi sokongan. Pendekatan secara bantuan terus seperti BR1M masih relevan, namun bantuan dari segi jangka panjang seperti keusahawan perlu lebih diberi perhatian.

Dalam pada itu, peruntukan subsidi secara terus kepada golongan sasar adalah langkah tepat. Bantuan dan insentif kepada penanam padi, penoreh getah serta nelayan sedikit sebanyak membantu golongan ini meneruskan kelangsungan hidup selain menikmati hasil kemakmuran negara.

Penekanan kepada aspek pembangunan modal insan melalui program TVET adalah usaha jangka panjang dalam menyedia dan mempelbagaikan kebolehan tenaga kerja tempatan pada masa hadapan. Peruntukan yang disediakan untuk latihan ini bakal memberikan pulangan hasil jangka panjang dalam melahirkan tenaga kerja mahir tempatan dalam pelbagai bidang.

Tumpuan juga diberikan kepada sektor kesihatan dengan lapan inisiatif yang diharapkan dalam memberi lonjakan kepada tahap penyampaian perkhidmatan kesihatan kepada rakyat.

Dengan mutu perkhidmatan kesihatan sedia ada yang mantap serta pertambahan jangka hayat purata penduduk, tentunya permintaan perkhidmatan kesihatan juga akan melonjak.

Menerusi peruntukan dan program dibentangkan diharap dapat meningkatkan mutu perkhidmatan terutama kepada golongan kurang berkemampuan.

Pelbagai langkah dalam memantapkan mutu dan keberkesanan perkhidmatan kerajaan. Antaranya, mewujudkan 'Collection Intelligence Arrangement' (CIA) dalam meningkatkan kutipan cukai dengan lebih berkesan. Langkah ini adalah perlu bagi memastikan hasil kutipan cukai kerajaan dapat ditingkatkan.

Penekanan juga diberikan kepada sektor pendidikan tinggi, prasekolah, wanita, Orang Asli, Bumiputera, kaum Cina dan India serta kakitangan kerajaan. Pendekatan menyeluruh untuk semua lapisan masyarakat memberi gambaran positif Bajet 2017 ini menitikberatkan peluang untuk semua.

Diharap bajet yang pragmatik ini dapat diterjemahkan kepada tindakan langsung efektif yang pastinya memberikan impak menyeluruh dari segi kemajuan sosial dan ekonomi kepada negara. Tambahan lagi, dunia global masa kini memperlihatkan cabaran getir dengan perkembangan geopolitik semasa yang tidak menentu serta arus perubahan pantas.

Justeru, setiap individu harusmemainkan peranan sejajar dengan peranan masing-masing da

Penulis ialah Ketua Ekonomi MIDF Amanah Investment Bank Berhad

Berita Harian X