Isnin, 24 Oktober 2016 | 10:48am
Hujan lebat punca banjir kilat Teluk Kumbar

Hujan lebat punca banjir kilat Teluk Kumbar

BAYAN LEPAS: Hujan lebat yang berlarutan sejak tengah malam tadi menyebabkan banjir kilat di beberapa kawasan di Teluk Kumbar, di sini, awal pagi tadi.

Kawasan terjejas ialah Kampung Nelayan Teluk Kumbar dan Kampung Suluk di sini, yang dinaiki air setinggi 0.3 meter, mulai jam 5 pagi tadi.

Bagaimanapun, air dilaporkan mulai surut jam 9 pagi tadi, selain tiada pusat pemindahan dibuka bagi menempatkan mangsa yang terjejas.

Dalam kejadian sebelum ini, lebih 20 keluarga dari Kampung Suluk, Kampung Nelayan, Kampung Masjid dan Kampung Paya di sini, dipindahkan ke pusat pemindahan sementara di Dewan Perda Teluk Kumbar selepas paras air naik melebihi 700 meter, berikutan hujan lebat lebih empat jam.

Difahamkan, pembangunan yang tidak terancang, selain sistem perparitan yang tidak diselenggara dengan baik dikatakan menjadi punca penduduk di kawasan itu sering menghadapi banjir kilat sejak lima tahun lalu.


MOHD Adam Mohd Azhar, 8, membantu keluarga mencuci lantai yang dipenuhi lumpur selepas air banjir kilat mulai surut di Kampung Nelayan, Teluk Kumbar, hari ini. - Foto Danial Saad
Berita Harian X