Isnin, 24 Oktober 2016 | 12:11pm

254 samseng jalanan ditahan

MELAKA: Seramai 254 individu ditahan dalam Ops Samseng Jalanan, yang dijalankan Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah dan Bukit Aman, di sini, malam tadi.

Timbalan Ketua Polis Daerah, Superintendan Mohd Kamal Zainal, berkata daripada jumlah mereka yang ditahan, sebanyak 101 saman turut dikeluarkan dalam operasi selama lapan jam bermula jam 4 petang, yang bertumpu di Jalan Banda Kaba di sini.

Katanya, lima lelaki berusia antara 18 tahun dan 23 tahun ditahan kerana menunggang motosikal secara melulu dan berbahaya.

"Mereka yang ditahan itu disiasat mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Sebanyak 204 motosikal dan dua kereta diperiksa kerana pelbagai kesalahan, termasuk cukai jalan tamat tempoh, tidak memiliki lesen memandu, nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi, tiada lampu brek, ubah suai motosikal serta tiada perlindungan insurans," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Mohd Kamal berkata, operasi disertai 26 anggota, termasuk 19 Sukarelawan Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu menutup jalan utama di kawasan berkenaan menyebabkan 206 kenderaan tidak dapat melarikan diri.

"Ketika diserbu, semua mereka cuba melarikan diri dengan menunggang motosikal melawan arus dan memasuki lorong berdekatan, tetapi ia tidak berhasil," katanya.

Berita Harian X