Isnin, 24 Oktober 2016 | 2:31pm

USM perlu sahut cabaran kepimpinan masa depan

RAJA Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail berkenan menyampaikan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektronik kepada Penerima Pingat Emas Canselor, Lim Yen Ruen pada majlis Konvokesyen USM ke-54, hari ini. - Foto Ramdzan Masiam

GEORGETOWN: Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail mahu Universiti Sains Malaysia (USM) muncul sebagai sebuah institusi ilmu yang bersiap sedia menyahut cabaran kepimpinan pada masa depan.

Baginda yang juga Canselor USM bertitah, melalui perbincangan duduk semeja dan pendekatan harmoni dengan semua pihak, rakyat akan bersatu serta bekerjasama ke arah mencapai negara maju dan sejahtera.

"Saya yakin USM sebagai sebuah universiti terunggul dalam negara, akan terus mengenal pasti kerjasama yang strategik dengan industri sama ada dalam mahu pun luar negara.

"Malah, graduan juga diingatkan supaya menjadikan nilai integriti dan syariat agama sebagai jati diri pada setiap masa," titah baginda ketika menyempurnakan Majlis Konvokesyen ke-54 USM, di Dewan Tuanku Syed Putra di sini, hari ini.

Tuanku Syed Sirajuddin dalam titahnya berpesan supaya graduan meraikan hari graduasi dengan kegembiraan dan kesyukuran serta tidak melupakan segala pengorbanan ibu, bapa serta warga pendidik masing-masing.

"Graduan juga perlu terus mencari ilmu supaya setiap pandangan dan keputusan diambil adalah bijak, bernas dan mewakili kepentingan umum. Apabila sudah berjaya, kembalilah ke sini dan beri sumbangan balas kepada USM terutamanya Yayasan USM sebagai tanda syukur dan terima kasih," titah baginda.

Terdahulu, seramai 5,941 graduan menerima diploma, ijazah sarjana muda, ijazah sarjana dan ijazah doktor falsafah (PhD) sempena Majlis Konvokesyen USM ke-54 yang berlangsung empat hari, bermula hari ini.

Pada majlis itu, Tuanku Syed Sirajuddin turut berkenan menyampaikan Ijazah Kehormat Doktor Kejuruteraan kepada Presiden Toray Industries, Datuk Akhihiro Nikkaku.

Berita Harian X