Isnin, 24 Oktober 2016 | 4:08pm

Penerbit buku perlu teliti struktur perniagaan sedia ada

FRANKFURT: Syarikat penerbit buku perlu meneliti semula struktur perniagaan sedia ada susulan pengenalan kad debit pelajar berjumlah RM250 bagi menggantikan Baucar Buku 1Malaysia (BB1M), seperti dibentangkan dalam Bajet 2017.

Pengarah Urusan PTS Media Group Sdn Bhd, Arief Hakim Sani Rahman, berkata sejak BB1M diperkenalkan, industri buku tempatan berkembang sehingga membolehkan banyak syarikat menambah kakitangan, gudang dan produk.

"Bagaimanapun, syarikat penerbit terpaksa meneliti semula struktur perniagaan yang diwujudkan sebelum pemberian BB1M pada tahun 2011, selain merombak model perniagaan yang digunakan sebelum ini.

"Hanya dengan cara itu, pihak kami boleh memperbetulkan struktur kos supaya berpadanan dengan jualan tunai dan bukan jualan melalui BB1M," katanya kepada BH pada Pesta Buku Frankfurt di Messe Frankfurt, di sini, hari ini.

Dalam pembentangan Bajet 2017, kerajaan mengumumkan akan menggantikan baucar buku dengan kad debit pelajar yang boleh digunakan untuk pembelian buku, alat tulis, alatan komputer dan akses internet, sekali gus memberi manfaat kepada seramai 1.3 juta pelajar.

Selain itu, pelepasan cukai individu untuk pembelian bahan bacaan, komputer dan peralatan sukan digabungkan sebagai pelepasan cukai gaya hidup serta diperluaskan meliputi akhbar arus perdana, telefon pintar dan tablet, langganan Internet dan bayaran keahlian gimnasium, sehingga RM2,500 setiap tahun.

Arief Hakim, yang juga Timbalan Presiden Persatuan Penerbit Buku Malaysia (MABOPA) berkata, Dewan Industri Buku Malaysia akan berbincang mengenai perkara itu dan berharap dapat berjumpa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, yang juga Menteri Kewangan bagi menyelesaikan isu berkenaan.

"Kami faham tekanan ekonomi yang berlaku kini tetapi jika kerajaan dapat menambah dan memulihkan peruntukan untuk Perpustakaan Negara Malaysia (PNM), perpustakaan negeri dan komuniti serta desa, ia dapat membantu industri buku.

"Tahun lalu dan tahun ini memperlihatkan kejatuhan industri ini yang sangat teruk. PTS membayar royalti lebih RM4 juta kepada pengarang pada tahun 2014 tetapi menjangkakan berhadapan kesukaran tahun ini," katanya.

Berita Harian X