Isnin, 24 Oktober 2016 | 4:38pm
PENERIMA Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Sekolah Rendah, Siti Marianizam Mohd Zanin (kanan), meraihkan kejayaan bersama suami, Hermi Zakaria (kiri) selepas Istiadat Konvokesyen UiTM Ke-85 di Dewan Agung Tuanku Canselor, UiTM Shah Alam. - Foto Faiz Anuar

Tugas tidak halang dua guru genggam ijazah

KHAIRIZAN Sabtu, menunjukkan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan yang diterima selepas Istiadat Konvokesyen UiTM Ke-85 di Dewan Agung Tuanku Canselor, UiTM Shah Alam. - Foto Faiz Anuar

SHAH ALAM: Menggalas tugas sebagai pendidik, tidak menghalang dua guru untuk menggenggam ijazah pada Istiadat Konvokesyen Universiti Teknologi MARA (UiTM) ke-85, di sini, hari ini.

Graduan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan, Khairizan Sabtu, 50, berkata pengorbanan sepanjang empat tahun bertungkus-lumus membahagikan masa sebagai guru, pelajar serta menjadi isteri dan ibu, kini membuahkan hasil.

Khairizan yang juga isteri kepada Editor Berita Harian Wan Jailani Razak, berkata, selepas 23 tahun menjadi guru, beliau membuat keputusan menyahut seruan Kementerian Pendidikan untuk melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah.

"Kekangan masa antara cabaran yang perlu dihadapi, namun dengan berkat sokongan serta doa daripada suami, anak-anak dan ibu bapa, saya mencetus kejayaan seperti ini.

"Sepanjang belajar, saya sering tidak sempat memasak untuk keluarga, namun suami tidak pernah merungut, malah sering membantu mengumpul bahan untuk tugasan yang diterima," katanya yang mengajar di Sekolah Kebangsaan Seri Pristana, Kuala Selangor.

Turut menemani Khairizan menerima ijazahnya hari ini, Wan Jalani serta dua anak mereka, Wan Amirul Amsyar, 23 dan Wan Amirul Aizzat, 18, serta ibu bapanya.

Sementara itu, seorang lagi guru, Siti Marianizam Mohd Zanin, 39, lega dan gembira kerana berjaya menamatkan pengajian.

Marianizam yang juga guru Bahasa Inggeris di Sekolah Kebangsaan Seksyen 7, Shah Alam, mengakui terpaksa berkorban masa sepanjang tempoh empat tahun pengajian.

Katanya, beliau juga pernah berhadapan masalah tidak sempat menyiapkan tugasan yang diberikan, namun menerima bantuan daripada, suami Hermi Zakaria, 37, rakan kelas serta rakan guru lain.

"Pengalaman itu bagaimanapun tidak mematahkan semangat saya untuk menamatkan pengajian dan saya berhasrat untuk melanjutkan ke peringkat lebih tinggi pada masa hadapan," katanya.

Berita Harian X