Isnin, 24 Oktober 2016 | 6:51pm

MTDC peruntuk pembiayaan RM163 juta pada 2017

KUALA LUMPUR: Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC), anak syarikat Khazanah Nasional Bhd, menyasar kelulusan pembiayaan RM163 juta menjelang tahun depan bagi meningkatkan aktiviti pengkomersialan teknologi tempatan.

Pembiayaan itu akan disalurkan melalui enam dana iaitu Dana Pengkomersialan Penyelidikan dan Pembangunan (CRDF), Dana Pengambilalihan Teknologi (TAF), Dana Permulaan Perniagaan (BSF), Dana Pertumbuhan Perniagaan (BGF), Dana Pengembangan Perniagaan Bumiputera (BEF) dan Dana Pembangunan Teknologi Halal.

Ketua Pegawai Eksekutif MTDC, Datuk Norhalim Yunus, berkata bagi tempoh sembilan bulan tahun ini, pihaknya sudah mengagihkan RM102 juta kepada 22 syarikat dengan dana diberikan secara berperingkat dalam tempoh dua tahun, berdasarkan pelan pelaksanaan.

"Jumlah keseluruhan peruntukan dana tahun ini sebanyak RM145 juta dan menjelang akhir tahun ini kami menyasarkan kelulusan pembiayaan kira-kira RM43 juta menerusi keenam-enam dana berkenaan.

"Pada tahun ini juga sejumlah RM10 juta diperuntukkan bagi Dana Pembangunan Teknologi Halal yang baharu diperkenalkan pada April lalu.

"Sambutan dana itu setakat ini adalah menggalakkan dan kami sedang mengenal pasti syarikat yang layak untuk menerima pembiayaan itu dan dijangka ia akan diluluskan paling awal November ini," katanya pada sidang media selepas majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) antara lapan syarikat yang terdiri daripada penerima dana MTDC dengan Central Purshasing Sinergi Surya Medika Pimpinan Pusat Muhammadiyah, di Selangor, hari ini.

Lapan syarikat terbabit ialah Foresight Industries Sdn Bhd, LadiY Healthcare Sdn Bhd, OSA Technology Sdn Bhd, Cell Tissue Technology Sdn Bhd, Farmasia Sdn Bhd, RVR Diagnostic Sdn Bhd, Medicfit Technology Sdn Bhd dan CALMS Technologies Sdn Bhd.

Turut hadir, Pengarah Urusan Rumah Sakit Islam Jakarta, Dr Prastowo Sidi Promono.

Perjanjian itu membabitkan pengedaran produk perubatan dan perkhidmatan ke pasaran Indonesia.

Mengulas mengenai MoU itu, Norhalim berkata, ia adalah permulaan untuk kerjasama strategik bagi meningkatkan pembangunan teknologi perubatan serantau.

"Ia bagi memenuhi permintaan pasaran tempatan dan nusantara. Selain itu, kerjasama berkenaan adalah inisiatif daripada MTDC untuk membantu syarikat tempatan memperluaskan rangkaian pasaran mereka ke luar negara," katanya.

Sementara itu, Dr Prastowo berkata, pihaknya menghargai kerjasama itu kerana ia akan memberi manfaat kepada pembangunan perubatan di Indonesia.

"Selain membantu pengembangan produk dan perkhidmatan perubatan di Indonesia, kami juga dapat berkongsi manfaat teknologi yang diguna pakai di Malaysia," katanya.

Berita Harian X