Isnin, 24 Oktober 2016 | 9:44pm

Keuntungan sebelum cukai I-Bhd melonjak


PENGERUSI Eksekutif I-Berhad, Tan Sri Lim Kim Hong.

KUALA LUMPUR: I-Bhd mencatatkan keuntungan sebelum cukai (PBT) RM65.1 juta bagi tempoh sembilan bulan berakhir 30 September 2016, melonjak 96.7 peratus berbanding RM33.1 juta dalam tempoh sama 2015.

Prestasi keuntungan memberangsangkan itu disumbangkan oleh pengukuhan pendapatan yang meningkat 53.42 peratus kepada RM280.7 juta daripada RM183.2 juta sebelumnya.

Bagi suku ketiga berakhir 30 September 2016, I-Bhd merekodkan peningkatan 144.2 peratus PBT kepada RM25.4 juta berbanding RM10.4 juta, manakala meningkat 105.8 peratus kepada RM113.6 juta daripada RM55.2 juta.

Pengerusi Eksekutifnya, Tan Sri Lim Kim Hong, berkata kumpulan berjaya mencatatkan prestasi memberangsangkan walaupun dalam persekitaran semasa yang mencabar, disumbangkan oleh pembangunan berterusan projek i-City.

Katanya, jualan belum dibilkan berjumlah RM656.5 juta atau bersamaan dengan lebih dua tahun pendapatan pembangunan hartanah, sekali gus menyediakan laluan selesa kepada kumpulan untuk tahun akan datang.

Beliau berkata, prestasi kewangan kukuh mencerminkan peningkatan berterusan dalam prestasi kumpulan hasil program transformasi yang dilaksanakan sejak beberapa tahun lalu.

"Ini seterusnya meletakkan asas kukuh untuk kami mencatatkan kejayaan lebih besar pada masa depan. Untuk suku berikutnya, kami menjangka lebih banyak sumbangan daripada segmen pembangunan hartanah dengan siap pembinaan pelbagai projek pada masa ini di i-City dan jualan lebih tinggi daripada pelancaran baharu.

"Lonjakan prestasi ini juga selaras dengan pelan pertumbuhan jangka panjang kumpulan, yang sebelum ini menyasar mencatatkan perolehan RM500 juta daripada segmen pembangunan hartanah pada 2018, menerusi sumbangan projek i-City dan 8 Kia Peng.

"Pada masa sama, kumpulan berhasrat untuk membangunkan portfolio pelaburan hartanah sehingga RM1 bilion menjelang 2018," katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Ketika ini hanya 10 peratus daripada keseluruhan nilai pembangunan kasar (GDV) I-Bhd siap sepenuhnya, sekali gus menyediakan prospek pertumbuhan jangka panjang yang lebih mapan dalam tempoh 10 tahun.

Pembinaan yang sedang dilaksanakan adalah Liberty Tower (350 unit), Parisien Tower (350 unit) dan Hyde Tower (517 unit), dengan semuanya dijangka selesai antara 2018 dan 2019.

Info:

Komponen pembangunan i-City seluas 30 hektar

* menara korporat

* suite pejabat Cyber

* apartmen servis

* hotel

* pusat data

* 1.5 juta kaki persegi pusat beli-belah dibuka pada 2018

Berita Harian X